PETALING JAYA – Dilabel sebagai naskhah sampah, pelakon Datin Seri Umie Aida meminta orang ramai menonton dahulu filem seram, Polong sebelum membuat sebarang kesimpulan.
Umie atau nama penuhnya Umi Khalsum Rahmad Ali, 53, berkata, setiap individu mempunyai minat dan jangkaan yang berbeza untuk sesebuah karya dan tidak perlu membanding-bandingkan dengan selera orang lain.
“Cerita Polong tak ‘best’?
“‘Come on’, setiap orang berbeza-beza selera. Jangan terpedaya dengan orang yang cakap tidak ‘best’.
“Kena tengok sendiri, mungkin mengikut selera anda, yang pasti kalian akan terkejut,” katanya dalam Threads.
Perkongsian tersebut menerima pelbagai respons yang rata-ratanya bersetuju Polong merupakan naskhah seram yang bagus.
“Tak sempat nak masuk popcorn dalam mulut, asyik terkejut saja.
“Siapa yang kata tidak bagus? Bagi saya jalan cerita Polong sangat bagus,” komen netizen.
Semalam, salah seorang pelakon filem Polong iaitu Mimi Lana menyelar tindakan segelintir pihak yang seolah-olah merendahkan usaha keras tenaga kerja industri apabila melabel naskhah tersebut sebagai sampah.
Mimi berkata, perbezaan cita rasa adalah lumrah, namun masih wujud golongan penonton lain yang menghargai dan menikmati karya tersebut.
Filem Polong arahan Zulkarnain Azhar memulakan tayangannya di pawagam seluruh Malaysia sejak semalam.
Selain Mimi, filem bergenre seram tersebut turut dibintangi Jun lojong, Fad Anuar, Nadiya Nissa dan Nam Ron. – KOSMO! ONLINE














