fbpx

Peniaga pasar hilang pelanggan jika laluan diubah jadi sehala

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tong Keong (tiga dari kiri) bersama wakil penduduk menunjukkan lokasi jalan yang bakal dijadikan laluan sehala di sekitar Bayan Baru, di sini hari ini.

GEORGE TOWN – Lebih 200 peniaga di kawasan Pasar Awam Bayan Baru serta di Kompleks Makanan Bayan Baru di sini meminta Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengkaji semula keputusan untuk mengubah jalan-jalan di sekitar Bayan Baru menjadi jalan sehala.

Peniaga serta penjaja di pasar berkenaan bimbang pengubahsuaian jalan-jalan di Bayan Baru menjadi jalan sehala akan menyebabkan pengguna tidak lagi memasuki kawasan berkenaan.

Pengerusi Persatuan Kompleks Makanan Bayan Baru, Ang Toh Huat berkata, para peniaga menerima notis berkaitan penukaran jalan-jalan di Bayan Baru kepada jalan sehala pada minggu lalu.

“Sekiranya jalan-jalan di sekitar Bayan Baru diubah kepada jalan sehala, pengguna terpaksa melalui jalan yang dilencongkan sehingga ke tiga kilometer sebelum mereka boleh memasuki jalan ke pasar.

“Jalan di sekitar pasar Bayan Baru akan dijadikan laluan keluar, jadi kami bimbang pengguna tidak lagi mahu datang ke pasar ini kerana terpaksa melalui lencongan yang jauh,” katanya ketika ditemui di Pasar Awam Bayan Baru, di sini hari ini.

Menurutnya, para peniaga terkejut selepas menerima notis pengubahsuaian jalan berkenaan kerana pihak MBPP tidak memaklumkan atau berbincang dengan wakil persatuan mengenai pengubahsuaian jalan tersebut.

“Kami hanya terima notis sahaja, tapi tiada siapa yang datang berbincang dengan kami untuk menjelaskan mengapa jalan ini perlu diubah menjadi jalan sehala.

“Kami berharap keputusan ini dapat dikaji semula oleh pihak MBPP dan agensi terlibat kerana ini memang menyusahkan peniaga serta penduduk setempat,” katanya.

Dalam pada itu, seorang peniaga di Pasar Bayan Baru, Ooi Teong Eng pula memberitahu, para peniaga bimbang pelanggan enggan datang lagi membeli-belah ke pasar berkenaan.

“Pelanggan pasti tidak mahu ke sini lagi kerana jalan sudah pasti akan sesak, tambahan pula mereka terpaksa melalui jalan yang jauh untuk ke pasar.

“Kami bimbang rejeki kami akan terjejas berpunca daripada pengubahsuaian jalan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, pihaknya berharap pengubahsuaian jalan di sekitar Bayan Baru itu akan dikaji semula oleh pihak berkuasa demi keselesaan penduduk serta peniaga di situ. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI