KUALA TERENGGANU – Seorang Penolong Pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) mengaku bersalah atas empat pertuduhan memiliki senjata api, peluru, pistol tiruan dan senjata berbahaya di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.
Pengakuan itu dibuat tertuduh, Mohd. Faizal Fauzi, 39, selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki sepucuk pistol jenis Smith & Wesson secara menyalahi undang-undang di dalam sebuah sebuah kenderaan pelbagai guna, Nissan Grand Livina.
Mohd. Faizal turut didakwa memiliki 77 jenis amunisi tanpa lesen senjata melibatkan peluru berkaliber 9 milimeter dan 5.56 milimeter.
Bagi pertuduhan ketiga pula, dia didakwa memiliki sepucuk pistol tiruan jenis Airsoft Kimber Yonkers NY U.S.A mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.
Selain itu, Mohd. Faizal turut berdepan pertuduhan memiliki dua bilah kerambit bersarung kayu di tempat awam tanpa maksud sah mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret Marang pula, Mohd. Faizal didakwa atas pertuduhan mengedar dan memiliki dadah jenis ganja dan Nitrazepam.
Tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya jenis ganja seberat 227.18 gram mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali jika tidak dijatuhi hukuman mati jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE














