fbpx
Siti Zubaidah merayu JPN menilai semula permohonan daftar lewat kad pengenalan dua anak lelaki kandungnya kerana dilahirkan di negara ini. Foto oleh MOHD FAHMI ISMAIL

Ibu tunggu 20 tahun, anak masih gagal dapat kad pengenalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – “Saya tunggu anak saya selama 20 tahun. Saya tak balik ke Kelantan sebab takut kalau saya pindah, anak saya tak dapat cari saya nanti.”

Demikian luahan seorang ibu warga tempatan, Siti Zubaidah, 50-an yang merayu agar dua anak lelaki kandungnya diberikan peluang mendapatkan kad pengenalan Malaysia selepas permohonan daftar lewat ditolak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menurut wanita berasal dari Kelantan itu, kedua-dua anaknya dibawa ke Jambi, Indonesia oleh bekas suami yang juga warga Indonesia ketika mereka masih kecil pada tahun 2004.

Katanya, dia cuba mendapatkan semula anak-anaknya, namun dihalang keluarga bekas suami.

“Anak saya dibawa lari ke Indonesia. Saya cari dan cuba ambil balik, tetapi keluarga sebelah sana tak benarkan,” katanya pada sidang media di pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), di sini hari ini.

Menurutnya, dia hanya dapat berhubung semula dengan anak-anaknya selepas mereka dewasa menerusi WhatsApp dan Facebook sebelum kedua-duanya pulang ke Malaysia pada 2023.

Siti Zubaidah berkata, dia sudah memenuhi pelbagai permintaan dokumen oleh JPN termasuk menjalani ujian DNA bagi mengesahkan hubungan ibu dan anak.

“Saya ikut semua yang diminta termasuk buat ujian DNA dan urusan dokumen, tetapi akhirnya permohonan tetap ditolak,” katanya.

Menurutnya, dia dimaklumkan penolakan itu bukan diputuskan oleh JPN Shah Alam, sebaliknya dari Putrajaya susulan ketidakselarasan maklumat pasport dengan sijil kelahiran.

Ujarnya, faktor kewangan turut menjadi cabaran besar untuk menguruskan pertukaran dokumen di Indonesia seperti diminta pihak berkaitan.

“Saya kerja kilang dengan gaji RM1,700 sebulan. Semua duit habis untuk urusan dokumen dan ulang-alik,” katanya.

Sementara itu, Siti Zubaidah mengakui dia bimbang memikirkan masa depan anak-anaknya sekiranya mereka terus gagal memperoleh dokumen pengenalan diri.

“Saya merayu kepada JPN, tolonglah anak saya. Saya takut kalau saya meninggal dunia nanti, tiada siapa dapat uruskan mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN