KUALA LUMPUR – Kerajaan menyasarkan industri francais negara mencapai jualan RM100 bilion menjelang tahun 2030 menerusi peluasan pasaran antarabangsa, inovasi dan pengukuhan ekosistem francais tempatan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, industri francais kini menjadi antara sektor ekonomi paling dinamik dan berdaya tahan dalam negara selain memainkan peranan penting dalam mewujudkan peluang pekerjaan serta memperkasa usahawan tempatan.
Menurutnya, industri tersebut menyumbang lebih RM36 bilion kepada ekonomi negara pada tahun 2022 sekali gus membuktikan kepentingannya dalam landskap ekonomi global yang semakin mencabar.
“Francais hari ini tidak lagi tertumpu kepada sektor makanan dan minuman semata-mata, sebaliknya telah berkembang ke bidang pendidikan, penjagaan kesihatan, logistik, teknologi, automotif dan pelbagai sektor lain.
“Perkembangan ini menunjukkan model francais semakin relevan dalam ekonomi moden selain membantu mengurangkan risiko perniagaan melalui sistem operasi yang tersusun,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.
Ahmad Zahid berkata, kerajaan mahu melihat Malaysia bukan sahaja menjadi pasaran francais yang kukuh, malah muncul sebagai pengeksport jenama dan sistem francais bertaraf antarabangsa.
Katanya, beberapa jenama tempatan seperti Global Art dan Marrybrown telah berjaya menembusi pasaran luar negara sekali gus membuktikan daya saing jenama Malaysia di peringkat global.
“Global Art kini berkembang ke lebih 20 negara dengan lebih 600 pusat, manakala Marrybrown mempunyai lebih 500 cawangan di 16 negara,” katanya.
Tambahnya, penganjuran FIM2026 juga menjadi platform penting yang menghimpunkan usahawan, pelabur, institusi kewangan dan pemain industri dalam memperkukuh jaringan kerjasama strategik.
“Dengan sokongan dasar kerajaan, tenaga kerja berkemahiran dan semangat keusahawanan yang kukuh, Malaysia berpotensi muncul sebagai kuasa francais utama di rantau ini,” katanya.- KOSMO! ONLINE














