SHAH ALAM – Suasana di Mahkamah Tinggi di sini, pilu dengan linangan air mata bapa kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin yang diberikan hak penjagaan ke atas anak keduanya tanpa syarat dan bon.
Zaim Ikhwan Zahari, 31, dilihat gagal menahan sebak selepas Hakim Suriyati Hasimah Mohd. Hashim membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sebahagian daripada 14 syarat dan bon yang ditetapkan Mahkamah Majistret di sini, 21 November tahun lalu.
Dia meluahkan rasa syukur dengan keputusan berkenaan sambil memeluk peguamnya, Lavanesh Haresh Mahadevan.
Haresh berkata, pihaknya telah mendengar keputusan mahkamah itu mengenai kes rayuan susulan perintah Mahkamah Majistret yang dipohon Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“JKM sebelum ini menuntut bahawa walaupun Zaim telah dibebaskan, mereka boleh memohon semua syarat dan bon. Ia kemudian dibenarkan oleh mahkamah (majistret). Kami kemudian memfailkan rayuan dan bersyukur dengan keputusan untuk membenarkannya,” katanya ketika ditemui di luar pekarangan mahkamah itu.
Tambah beliau, pihaknya kini memfokuskan kepada proses rayuan ke atas hukuman ibu Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf, 31, supaya mereka dapat kembali ke kehidupan yang normal. – KOSMO! ONLINE














