KAJANG – Tindakan empat individu dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kabel di Jalan Zahra 1, Semenyih membawa padah apabila mereka diberkas polis, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya mengesan video tular berdurasi 41 saat di media sosial berkaitan kejadian tersebut yang dipercayai berlaku kira-kira pukul 5.45 pagi.
Menurut beliau, susulan video tular itu, pihak polis menerima satu laporan daripada seorang penduduk kawasan perumahan berhampiran lokasi kejadian pada pukul 8.29 pagi semalam.
“Bertindak atas laporan diterima, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kajang berjaya menahan tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 24 hingga 39 tahun di sekitar Batu 9 dan Batu 14, Hulu Langat.
“Semua suspek dipercayai penganggur,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, polis turut merampas dua buah kenderaan iaitu Honda Jazz dan Perodua Myvi yang dipercayai digunakan ketika melakukan kegiatan tersebut.
“Turut dirampas beberapa bahan bukti lain yang digunakan suspek semasa melakukan perbuatan curi kabel,” ujarnya.
Menurut beliau, semakan mendapati suspek pertama mempunyai 24 rekod jenayah dan 10 rekod narkotik, suspek kedua mempunyai 10 rekod jenayah serta empat rekod narkotik.
“Suspek ketiga pula mempunyai lima rekod jenayah dan enam rekod narkotik manakala suspek keempat mempunyai tiga rekod narkotik,” katanya.
Tambah beliau, kesemua suspek direman selama tiga hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
“Orang ramai diminta terus bekerjasama menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah melalui talian NG MERS 999 atau Pusat Kawalan Daerah Kajang di talian 03-89114243,” katanya. – KOSMO! ONLINE














