fbpx
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

[VIDEO] Bapa didakwa tampar, gigit bayi 10 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang peniaga burger didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini hari ini, atas pertuduhan menampar dan menggigit bayi lelakinya yang baru berusia 10 bulan hanya kerana kaki mangsa dikatakan terkena padanya ketika sedang tidur.

Tertuduh, Wan Faddli Abd. Saad, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Uthman Abd. Ghani.

Mengikut pertuduhan, perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 4 pagi semasa berada di sebuah rumah beralamat di Jalan AMJ, Semabok dalam daerah Melaka Tengah pada 6 Mei lalu dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama.

Difahamkan laporan polis telah dibuat oleh isteri tertuduh dan ketika kejadian didakwa tertuduh yang terjaga kemudian telah mengamuk selain bertindak memukul bayi lelaki itu sehingga cedera serta mengugut untuk membuang mangsa ke dinding, mematahkan kaki serta membunuhnya sekiranya pengadu masuk campur.

Dakwa pengadu lagi, tertuduh sering memukul bayi mereka tanpa sebab.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dikenakan terhadap tertuduh berserta syarat tambahan iaitu tertuduh tidak mengganggu mangsa.

Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Izzuddin Ab. Malek yang mewakili tertuduh merayu agar jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai peniaga burger dengan pendapatan sekitar RM1,000 sebulan.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dan bersetuju dengan syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada tarikh 23 Jun depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN