SEREMBAN – Seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan meninggal dunia dipercayai ketika sedang tidur dalam buaian di rumah pengasuhnya Bandar Sri Sendayan, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 10 malam tadi.
“Ibu bapa mangsa menerima panggilan daripada pengasuh anak lelakinya memaklumkan bayinya tidak sedarkan diri. Mangsa kemudian telah dibawa ke klinik swasta berhampiran di Bandar Sri Sendayan dan seterusnya ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) menaiki ambulans,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Azahar berkata, doktor bertugas dilaporkan berusaha melakukan bantuan pernafasan (CPR) sebelum bayi itu disahkan sudah meninggal dunia.
“Hasil siasatan mendapati bayi berkenaan dijaga oleh pengasuh sejak Disember 2025. Ketika kejadian pengasuh dipercayai menidurkan bayi itu di dalam buaian dengan mulutnya diberikan puting jenis silikon,” katanya.
Jelas Azhar, mayat bayi itu sudah dihantar ke Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau untuk proses bedah siasat, manakala pengasuh terbabit telah ditahan untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – KOSMO! ONLINE














