IPOH – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak mematahkan cubaan memindahkan 101 ekor kambing secara haram di Bidor menerusi pelaksanaan Ops Korban Tegas 2026, hari ini.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, Dr. Saifullizam Abd. Kadir berkata, operasi tersebut dijalankan oleh sepasukan anggota penguat kuasa JPV Perak awal pagi tadi dalam usaha memperkukuh kawalan pergerakan ternakan menjelang musim perayaan.
Beliau berkata, pasukan penguat kuasa tersebut berjaya menahan sebuah kenderaan pada kira-kira pukul 3.30 pagi di Hentian Sebelah Ladang Bikam arah Selatan.
“Hasil pemeriksaan mendapati pemandu kenderaan tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen pemindahan yang sah.
“Modus operandi dilaksanakan adalah dengan menutup keseluruhan bahagian belakang kenderaan menggunakan kanvas bagi mengaburi pihak penguat kuasa juga tidak berjaya,” katanya di sini, hari ini.
Saifullizam berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM15,000 jika sabit kesalahan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Ops Korban Tegas 2026 yang dilaksanakan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha sehingga hari perayaan bertujuan mengawal dan membanteras aktiviti pemindahan ternakan tanpa kebenaran yang sah. – KOSMO! ONLINE














