DUNGUN – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) mengambil inisiatif mengurangkan kadar sewa premis perniagaan milik agensi itu sebanyak 20 peratus bermula bulan depan.
Pengerusi Ketengah, Datuk Rozi Mamat berkata, inisiatif tersebut bakal memberi manfaat kepada 552 penyewa premis
gerai, medan selera, rumah kedai, kilang industri kecil dan sederhana di seluruh wilayahnya.
“Premis-premis perniagaan tersebut terletak di Bandar Al Muktafi Billah Shah, Ketengah Jaya dan Bukit Besi, Dungun; Seri Bandi, Ceneh Baharu, Kemaman dan Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.
“Pengurangan 20 peratus kadar sewaan bulanan berkenaan melibatkan amaun antara RM20 hingga RM1,200 mengikut saiz dan lokasi premis,” katanya di sini, hari ini.
Rozi berkata, Ketengah berharap inisiatif terbabit dapat membantu peniaga di wilayah Ketengah dalam mendepani krisis ekonomi dan kenaikan harga bahan api global.
Beliau berkata, ia selaras arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang prihatin terhadap cabaran sedang dihadapi golongan peniaga. – KOSMO! ONLINE














