TIDAK dinafikan, minuman berkafein seperti kopi bukan sahaja diminati golongan berusia, malah turut menjadi pilihan generasi milenial.
Jika dahulu, minuman berasaskan kopi amat terhad untuk didapati dan hanya tertumpu kepada beberapa jenis sahaja.
Seiring peredaran zaman berbekalkan teknologi canggih pada masa kini, kopi boleh dinikmati pada bila-bila masa dan di mana sahaja.
Mengakui sebagai seorang penggemar kopi, pemilik nama Muhammad Nur Haizie Suffian yang bekerja dalam sektor swasta sebelum ini nekad berhenti kerja demi memenuhi impiannya untuk membuka sebuah kafe.
“Kalau ikutkan, saya suka mengembara ke luar negara secara solo. Antara negara yang saya suka pergi tentulah Indonesia.,
“Jadi bila sudah ke sana, tidak sah kalau tidak mencuba pelbagai jenis kopi yang ada di setiap daerah di Indonesia.
“Bermula dari situlah, saya mendapat inspirasi dan memasang impian untuk membuka kedai kopi dengan konsep tersendiri,” katanya memulakan bicara bersama K2.
Bercerita mengenai konsep kedai, Muhammad Nur Haizie berkata, dia memilih nama Kopi Kisah Kita, kerana di sebalik setiap jenis kopi yang ditawarkan itu, mempunyai kisah tersendiri.

KOPI Kisah Kita menawarkan lebih daripada 10 jenis kopi di kesemua empat outletnya.
Katanya, kisah-kisah dan kata-kata termasuk madah pujangga ditulis serta direkanya sendiri dan digunakan dalam setiap kopi yang dijual.
“Di kedai ini, kami memang menggunakan kata-kata khas tersebut, kerana sejujurnya, saya memang seorang berjiwa puitis dan jiwang, selain sukakan ketenangan.
“Jadi, apabila seorang penggemar kopi itu ‘jiwang’, maka terhasil Kopi Kisah Kita yang saya pilih sebagai nama kedai,” katanya.
Bercerita mengenai seleksi pilihan, beliau menerangkan, pihaknya menawarkan beberapa varian termasuk yang menjadi signator iaitu kopi kisah kita, kopi janji manis, kopi harapan palsu, kopilih dia, kopi dua darjat, kopi jarak jauh, kopi kenangan indah dan terbaharu kopi durian.
“Dari segi seleksi, kami menawarkan lebih daripada 10 jenis kopi yang semuanya diperkenalkan sendiri, termasuk daripada proses pemilihan biji kopi hingga siap dihasilkan.
“Bercakap soal biji kopi, kami memperolehnya terus dari Indonesia dan ada juga yang dibeli dari ladang kopi di Johor,” katanya.
Tambah bekas kakitangan swasta yang bekerja selama hampir 10 tahun di salah sebuah syarikat berkaitan farmaseutikal dan perubatan itu, kesemua outlet turut menawarkan makanan tambahan seperti pastri dan kapasiti tersendiri.

SUASANA dalam kafe Kopi Kisah Kita yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pelanggan, terutama golongan muda.
Bercakap mengenai perancangan, pengurus projek yang juga adik kandung kepada Muhammad Nur Haizie iaitu Muhammad Haikal berkata, pihaknya optimis untuk terus menambah outlet dari semasa ke semasa.
“Alhamdulillah, outlet pertama kami iaitu di Metropoint Kajang, Selangor dibuka pada 2020, betul-betul semasa negara dibadai pandemik.
“Hasil penerimaan dan respons pelanggan, Kopi Kisah Kita kini sudah pun ada empat outlet termasuk di Wangsa Maju, Southville City dan terakhir di pusat beli-belah MyTown, Cheras.
“Insya-Allah, Kopi Kisah Kita bakal menerjah Shah Alam selewat-lewatnya awal tahun hadapan,” katanya.














