fbpx

PRU-15: UMNO Melaka perkenal calon muka baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ab. Rauf Yusoh.

MELAKA – Semua calon UMNO yang disenaraikan akan bertanding di kerusi Parlimen Masjid Tanah, Hang Tuah Jaya, Jasin dan Tangga Batu merupakan muka baharu, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Beliau berkata, Melaka merupakan antara lima negeri selain Johor, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan dan Sabah yang telah menyerahkan senarai calon bagi empat kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) untuk dinilai lima pemimpin tertinggi UMNO (Top 5), petang semalam.

Beliau turut mengesahkan, penyandang kerusi Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah telah mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan kerusi berkenaan.

“Semua senarai lima calon UMNO yang dikemukakan oleh setiap bahagian telah diserahkan secara total (sepenuhnya) kepada pimpinan pusat, untuk disaring dan dinilai sebelum salah satu nama yang terbaik akan dipilih sebagai calon.

“Perhubungan UMNO Melaka kini hanya menunggu keputusan akhir daripada saringan dan penilaian yang dibuat pihak tertinggi parti.

“Semua calon adalah muka baharu yang belum pernah bertanding di peringkat Parlimen dan seorang penyandang iaitu Tok Mad (Ahmad Hamzah) tidak pertahan kerusi Jasin pada PRU-15,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Barisan Nasional (BN) Melaka di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Pemberita turut difahamkan, Ab. Rauf telah memberi taklimat dan mengemukakan senarai calon kepada ‘Top 5’ yang dipengerusikan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Ibu Pejabat UMNO, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), petang semalam.

Turut dimaklumkan, senarai yang dibawa oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara itu merupakan senarai yang telah diputuskan di peringkat bahagian dan disahkan ketua-ketua bahagian.

Hal ini kerana, sebelum ini terdapat desas-desus mendakwa, beberapa ADUN yang tidak tersenarai dalam senarai bahagian turut menawarkan diri bertanding di Parlimen Jasin dan Tangga Batu.

Dalam pada itu, Ab. Rauf yang juga Pengerusi BN negeri berkata, dua lagi kerusi iaitu Parlimen Alor Gajah dan Kota Melaka akan terus menjadi tradisi ditandingi calon MCA.

Beliau berkata, BN telah memperincikan gerak kerja parti bagi menghadapi PRU15 yang akan diadakan pada bila-bila masa.

“Perbincangan kita lebih menjurus kepada persiapan rapi untuk menghadapi pilihan raya ini dan setakat ini kerjasama yang diberikan oleh setiap parti komponen nampaknya begitu baik,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI