fbpx
FAIZAL Ismail bersyukur kerana diberi kepercayaan menerima pentauliahan mengajar daripada JAIS.

Faizal Ismail dapat pentauliahan JAIS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Penyampai radio dan pengacara, Faizal Ismail meluahkan kesyukuran apabila secara rasminya bergelar pengajar bertauliah daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Katanya, Tauliah Mengajar dari Bahagian Pengurusan Dakwah Jais yang diperoleh selepas proses temu duga Ogos lalu berkuat kuasa bermula 22 September lalu hingga 30 Jun 2025.

“Alhamdulillah terima perkhabaran gembira ini di Tanah Suci Mekah. Syukur tak terhingga.

“Selepas melalui dua proses penilaian secara teori dan lisan, permohonan Tauliah Mengajar dari JAIS lulus.

“Namun, perlu saya akui ini bukanlah satu proses yang mudah kerana kedua-dua penilaian mempunyai cabaran yang tinggi tanpa sebarang prejudis.

“Apa pun semuanya adalah atas kehendak dan izin Allah SWT jua,” katanya.

Faizal yang terkenal dengan panggilan FBI turut memaklum dia tidak mengajar ilmu khusus dalam agama, sebaliknya lebih kepada memberikan motivasi.

“Tauliah mengajar yang ditawarkan kepada saya adalah kategori D4 iaitu Motivasi-Pembangunan Insan.

“Jadi, saya bukanlah mengajar ilmu khusus dalam agama kerana saya juga masih perlu banyak belajar.

“Namun, kategori motivasi seperti yang tertera dalam surat tawaran akan memudahkan pergerakan saya memenuhi hajat pihak yang mahu menjemput untuk sama-sama berkongsi manfaat,” kongsinya lagi.

Figura popular berusia 46 tahun itu turut menzahirkan terima kasih terhadap kepercayaan daripada agensi berkenaan.

“Terima kasih tak terhingga kepada JAIS atas penganugerahan tauliah ini.

“JAIS turut menggalakkan supaya lebih ramai mereka yang mahu aktif dalam dunia dakwah agar memohon pentauliahan supaya tidak timbul perkara berbangkit pada kemudian hari.

“Insya-Allah moga ini menjadi bukti sesiapa jua boleh memohon asalkan memenuhi syarat yang ditetapkan,” katanya.

Faizal kini berada di Mekah membawa rombongan mengerjakan ibadah umrah.

Terdahulu, pemilik nama penuh Mohd. Faizal Ismail itu pernah menyambung pengajian peringkat sarjana dalam bidang industri kreatif di Universiti Cardiff, United Kingdom (UK) pada Ogos 2019.

Disebabkan penularan wabak Covid-19, situasi itu memaksa semua pusat pengajian ditutup dan pembelajaran diteruskan secara dalam talian.

Bapa kepada empat cahaya mata itu yang turut membawa keluarganya ke sana kemudian mengambil keputusan pulang ke tanah air.

Sekembalinya di sini, bekas penyampai Hot FM itu mengambil keputusan menyertai tabligh, bagi melakukan perubahan dalam diri selepas melalui pengalaman didekati jemaah terbabit sewaktu di UK.

Malah dia kini hanya mengambil tawaran mengendalikan program televisyen atau radio yang menjurus terhadap isu keagamaan atau kerohanian. – KOSMO! ONLINE

POPULAR