fbpx

Jual perabot online bermodal RM500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NUR LAILA (tengah) tidak berputus asa menempuh onak duri dalam perusahaan pembuatan perabot yang banyak dimonopoli oleh kaum lelaki.- AFIQ RAZALI

DILAHIRKAN dalam keluarga yang mewarisi ‘darah’ bisnes, membuatkan Nur Laila Alway, 39, tidak serik mencuba pelbagai perniagaan termasuk menjalankan perniagaan perabot yang jarang dilakukan oleh kaum Hawa.

Wanita kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu pernah mengusahakan kedai kain, tetapi setelah berkahwin dan berpindah ke Kuala Lumpur, dia memilih untuk membuat dropship produk kecantikan.

Setelah dua tahun melakukan kerja tersebut, Nur Laila mula berjinak-jinak mengusahakan perabot secara online pada tahun 2019 bermodalkan RM500.

“Sebenarnya perusahaan perabot ini berlaku secara kebetulan, yang mana pada ketika itu saya hendak berpindah ke rumah baharu dan mahu menggantikan sofa lama.

“Saya sangat menyukai sofa yang dihasilkan dan dipertemukan dengan tukang yang membuatnya. Sejak itu, kami bekerjasama mengusahakan perniagaan perabot,” kata ibu kepada dua orang cahaya mata itu.

PERABOT yang diusahakan oleh Nur Laila turut menembusi pasaran luar negara seperti Singapura dan Brunei.

Ujar pemegang Ijazah Sarjana Perniagaan dari Universiti Malaysia Terengganu itu, apa yang membuatkan dia bertekad untuk mengusahakan perabot kerana tidak ramai orang menjual sofa chester­field secara online kerana kebanyakannya dibeli dari China.

Nur Laila menggunakan pengalaman sebagai dropship bagi mempromosi sofa di sosial media dan pergi ke rumah pelanggan untuk berbincang material serta rekaan dimahukan.

“Pada peringkat awal, memang sangat susah kerana orang masih belum kenal dan percaya, apatah lagi dijual menggunakan medium online.

“Namun, saya tidak berputus asa pergi ke rumah bakal pelanggan dan menerangkan mengenainya,” katanya.

Setelah perniagaan semakin baik, Nur Laila membeli mesin kayu berharga RM5,000 untuk menambah baik pembuatan sofa itu dan mempercepatkan penghasilannya.

Bengkelnya juga mula bertambah dari satu kepada tiga dan kini dia telah berjaya memiliki empat buah kilang pembuatan sofa dan menembusi pasaran luar negara seperti Singapura dan Brunei.

Nur Laila membuktikan wanita boleh melakukan apa jua perniagaan termasuk mengusahakan perabot, walaupun ia banyak dimonopoli kaum lelaki.

ILMU kejuruteraan Mekatronik banyak membantu Nur Laila dalam pembuatan sofa.

Dia yang turut memegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik itu banyak menggunakan pengetahuan tersebut untuk diaplikasikan dalam pembuatan sofa.

Kejayaannya itu tidak datang bergolek, tetapi memerlukan kesabaran dan kebijaksanaan mengatur langkah untuk memajukan perniagaan tersebut.

Usahanya itu membolehkannya menerima anugerah Best Bumiputera Brand Award 2022 dan Best Agricommodity Startup Company daripada Malaysia International Agricommodity Expo & Summit.

“Pada peringkat awal, cabaran saya bukan hanya sukar untuk mendapatkan kepercayaan bakal pelanggan, tetapi juga daripada pihak pembekal kerana syarikat ini masih baharu,” tuturnya.

Ceritanya, dia terpaksa menunggu dua jam untuk membeli kain 10 meter kerana tidak ada sudi melayannya.

Masalah tersebut mengganggu operasi pembuatan sofa hingga terpaksa menangguhkan penghantaran kepada pelanggan.

Namun, dia tidak pernah berputus asa dan terus menunjukkan komitmen terbaik dalam penghasilan sofa hingga mendapat kepercayaan pembekal.

Pada peringkat awal memulakan perniagaan, Nur Laila juga perlu berdepan masalah pengangkutan kerana tidak mempunyai lori sendiri.

Dia terpaksa menumpang lori orang untuk menghantar perabot ke rumah pelanggan.

“Setiap hari saya melayari Facebook perkhidmatan lori atau kumpulan WhatsApp untuk meminta pertolongan menghantar sofa tersebut,” katanya menutup bicara.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI