Pengecas EV, X-Caddie S1 telah diperkenalkan secara rasmi di San Francisco, AS baru-baru ini.

Robot pengecas EV mudah alih solusi inovatif di kawasan parkir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERKEMBANGAN teknologi kenderaan elektrik (EV) kini berada pada tahap sangat pesat, hasil dorongan inovasi bateri dan kesedaran kelestarian alam sekitar.

Konflik di Asia Barat secara tidak langsung mempengaruhi penggunaan EV yang dilihat sebagai alternatif terbaik menggantikan kenderaan petrol.

Peningkatan permintaan EV juga mendorong syarikat pemula, EnerRenew (atau turut disebut sebagai EneRenew) membangunkan teknologi robot pengecas mudah alih.

Inovasi itu membolehkan petak parkir biasa bertukar menjadi tempat pengecasan EV tanpa memerlukan pembinaan kabel bawah tanah yang rumit.

Robot tersebut direka untuk meluncur secara senyap di kawasan tempat letak kereta menggunakan sensor dan motor tanpa bunyi bising.

Inovasi itu telah diperkenalkan di Treasure Island, San Francisco, Amerika Syarikat (AS) apabila sebuah sistem robotik dibangunkan bagi membantu pemilik EV mengecas kenderaan mereka dengan lebih mudah dan fleksibel.

Ia berfungsi sebagai unit pengecas bergerak yang boleh dihantar terus ke lokasi kenderaan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada stesen pengecas tetap.

Robot yang diberi nama X-Caddie itu dilengkapi dengan pengecas dan pek bateri dalam badannya bagi membantu pengguna EV mengecas kenderaan mereka.

Robot X-Cuddie boleh bergerak sendiri di kawasan parkir kerana dilengkapi sensor LiDAR.

Biasanya di AS, cas EV lebih murah daripada bahan api dan bersifat fleksibel kerana boleh dilakukan di rumah. Berbeza dengan pengisian bahan api yang tertumpu di stesen minyak sahaja.

Menurut Pengurus Pemasaran EnerRenew, Mark Yang, kelebihan utama sistem X-Caddie terletak pada keupayaannya ‘memintas’ kerenah birokrasi infrastruktur yang sering melambatkan pembangunan kemudahan pengecasan.

“Pengguna tidak perlu menaik taraf grid elektrik di rumah, menunggu syarikat utiliti memasang kabel atau memohon permit pembinaan yang mengambil tempoh lama.

“Robot X-Caddie turut menawarkan pengecasan pantas tahap Level 3 (DC) bagi membolehkan EV di cas dengan lebih efisien di mana-mana lokasi mengikut permintaan,” ujarnya dalam temu bual bersama agensi berita, NBC Bay Area.

Robot berbentuk kotak segi empat tepat yang kompak dan kemas (sleek) itu memiliki berat mencecah hampir 1 tan kerana membawa pek bateri berkapasiti besar iaitu 80kWh di dalamnya.

Menariknya, robot berkenaan hadir dengan dua pilihan model iaitu X-Caddie S1 (model asas) dan X-Caddie S1 Pro.

GAMBARAN AI yang menunjukkan perkhidmatan robot X-Cuddie boleh ditempah menggunakan aplikasi.

X-Caddie S1 Pro bersifat automasi navigasi, di mana robot boleh gerak secara autonomi ke lokasi kenderaan di tempat parkir setelah dipanggil melalui aplikasi EnerRenew.

Walaupun mampu bergerak sendiri, namun pemandu masih perlu mengambil palam iaitu sambungan pengecas secara manual dari robot dan memasukkannya sendiri ke dalam ‘port’ pengecasan kereta.

Sementara X-Caddie S1 Pro hadir dengan lengan robotik yang memiliki automasi penuh dan mampu bergerak lebih laju berbanding model asas.

Robot itu juga menggunakan sensor dan kamera untuk mengesan kedudukan ‘port’ pengecasan kereta.

Kemudian, lengan robot akan memanjang dan memasukkan palam secara automatik tanpa penglibatan manusia.

Kedua-dua model direka sebagai penyelesaian Level 3 DC Fast Charging yang mudah alih. Ini membolehkan petak parkir biasa menjadi stesen pengecasan pantas tanpa memerlukan infrastruktur tetap.

Program rintis robot X-Caddie telah dilancarkan di Treasure Island pada Mac lalu sebagai lokasi pertama.

Pemilihan lokasi itu dibuat kerana ia merupakan kawasan pembangunan semula bandar dengan keperluan tinggi untuk infrastruktur EV.

Dalam pada itu, Yang memberitahu, robot X-Caddie dibina menggunakan gabungan bahan tahan lasak tetapi cukup ringan untuk navigasi autonomi.

Kerangka utama (chassis) diperbuat daripada keluli berkekuatan tinggi atau aloi aluminium agar dapat menampung berat bateri serta memberi kestabilan semasa bergerak.

“Panel luar (body panels) pula menggunakan bahan polimer komposit atau plastik ABC berkualiti tinggi yang tahan lasak. Pemilihan bahan ini dibuat kerana ia tahan terhadap cuaca hujan dan panas serta tidak mudah berkarat.

“Bagi robotik S1 Pro, bahagian lengan mekanikal dibuat dengan menggunakan aloi aluminium gred aeroangkasa atau gentian karbon (carbon fiber).

“Bahan ini dipilih supaya lengan tersebut ringan, tepat dalam pergerakan dan tidak membebankan motor penggerak,” katanya.

Sementara itu, bahagian luaran robot menempatkan sensor LiDAR, kamera dilindungi dan polikarbonat lut sinar yang tahan calar serta impak untuk memastikan penglihatan robot tidak terganggu.

Getah industri tahan lasak pula digunakan untuk tayar dengan sistem brek mekanikal bagi memastikan robot boleh berhenti serta-merta jika penderia mengesan halangan atau manusia di laluan.

Penggunaan bahan-bahan itu membuktikan bahawa X-Caddie bukan sahaja kelihatan moden dan estetik, malah cukup teguh untuk berfungsi di persekitaran parkir sibuk.

Dalam pada itu, EnerRenew telah mengesahkan rancangan untuk melancarkan sekurang-kurangnya 10 lokasi rintis di seluruh kawasan Bay Area, California dalam masa terdekat, sebelum pengembangan ke luar negara.

Menurut laman web rasmi EnerRenew, syarikat itu telah menjalin kerjasama strategik dengan gergasi bateri dunia, CATL (Contemporary Amperex Technology Co. Limited) yang memberi manfaat besar, dan menjamin keupayaan robot X-Caddie untuk bersaing di pasaran global.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN