fbpx

Wanita UMNO kenal pasti calon pilihan di Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SEBERANG PERAI – Pergerakan Wanita UMNO Pulau Pinang telahpun mengenal pasti calon-calon wanita daripada parti itu yang akan diketengahkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Ketuanya, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, nama-nama tersebut termasuk calon daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain seperti MCA dan MIC akan ‘dipersembahkan’ kepada pucuk pimpinan untuk diteliti sebelum diputuskan.

Menurut Norliza, pemilihan calon-calon dibuat berdasarkan beberapa kriteria termasuk daripada pelbagai peringkat umur dan pengalaman politik selepas mengambil kira pencapaian Wanita BN di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka sebelum ini.

“Jadi, dalam hal ini, tentunya saya amat berharap agar lebih ramai calon wanita (di Pulau Pinang) boleh diketengahkan kali ini (PRU-15).

“Kalau boleh juga, biarlah jumlah itu melebihi 30 peratus iaitu sasaran awal yang kita tetapkan sebelum ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ketika ini, hanya satu kerusi dimiliki oleh wanita UMNO dan BN di Pulau Pinang iaitu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Berangan yang disandang oleh Nor Hafizah Othman.

Mengulas lanjut, Norliza yang juga Naib Ketua Wanita UMNO memberitahu, beliau seboleh-bolehnya mahu mengetengahkan seramai mungkin calon wanita untuk kedua-dua kerusi iaitu DUN dan Parlimen khususnya bagi negeri Pulau Pinang.

“Dapat atau tidak (diletakkan sebagai calon), itu merupakan soal kedua. Yang penting, kita berhasrat untuk ketengahkan calon-calon wanita yang lebih holistik merangkumi calon-calon lain daripada parti komponen BN. Jadi, semestinya ia tidak terhad kepada Wanita UMNO sahaja,” ujarnya.

Dalam pada itu beritahunya lagi, Wanita UMNO di seluruh negara kini sedang giat melakukan gerak kerja bancian sentimen di peringkat akar umbi.

“Disebabkan berlakunya peningkatan pengundi yang agak besar pada pilihan raya umum kali ini termasuk pertambahan jumlah pengundi muda yang ketara maka, kami perlu ‘mendampingi’ mereka untuk melihat bagaimana corak sentimen ketika ini,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI