MUAR – Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai isu dalaman parti selepas beberapa pemimpin tertinggi, termasuk Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah dilaporkan meletakkan jawatan.
Beliau berkata, pihaknya akan mendapatkan laporan lengkap terlebih dahulu bagi mengetahui kedudukan sebenar berhubung perkara berkenaan.
Menurutnya, peletakan jawatan itu hanya membabitkan kedudukan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti, namun mereka masih lagi ahli Bersatu.
“Tak apa, itu soal itu (pemimpin letak jawatan), dia letak jawatan untuk ahli majlis tinggi tapi dia ahli parti bersatu lagi. Jadi saya akan dapatkan laporan lengkap, apa kedudukan sebenarnya.
“Jadi soal-soal semua ini, dalam parti saya tak akan bincang banyak di luar. InsyaAllah (Bersatu tetap kukuh),” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai membuang undi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Muar, di sini, hari ini.
Khamis lalu, media melaporkan Abu Bakar melepaskan jawatan sebagai Ahli MPT Bersatu bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada pentadbiran kerajaan negeri yang berbaki kira-kira setahun sebelum tamat penggal.
Selain Abu Bakar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena yang juga Exco kerajaan negeri, Datin Marzita Mansor turut mengambil keputusan sama apabila menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai ahli MPT pada minggu lalu.
Semalam, seorang lagi MPT Bersatu, Aziman Hadi Nazri mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa serta-merta pada Jumaat lalu, selain memutuskan untuk meletakkan jawatannya sebagai Exco Armada Nasional.
Pada hari sama, Ketua Bersatu Bahagian Bukit Bintang, Rosman Mohd.Nordin bersama barisan kepimpinan bahagian dan kira-kira 150 ahli turut menamatkan keahlian dalam parti.















