fbpx

Jenayah ganas meningkat di AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PAPAN TANDA ‘Zon Bebas Senjata Api’ dilihat dekat dataran Times Square di Manhattan, New York pada 1 September 2021. - AFP

WASHINGTON – Kes pembunuhan di bandar-bandar utama di seluruh  Amerika Syarikat (AS) mencatat penurunan dalam tempoh enam bulan 2022 , bagaimanapun, jenayah ganas lain merekodkan peningkatan, demikian menurut kajian baharu yang diterbitkan oleh Persatuan Ketua Bandar-Bandar Utama seperti laporan agensi berita United Press International kelmarin.

Kajian melibatkan 70 agensi kepolisan tersebut menyatakan, jenayah pembunuhan di AS turun sedikit daripada 4,624 kes yang dilaporkan sepanjang enam bulan pertama 2021 kepada 4,511 kes untuk tempoh sama tahun ini.

Angka homisid itu bercanggah dengan peningkatan kes bunuh dari tahun 2019 hingga 2020,  ketika pandemik Covid-19 melanda AS. Sepanjang tempoh tersebut, pihak berkuasa memaklumkan bahawa  kes pembunuhan meningkat sebanyak 30 peratus sekali gus peningkatan terbesar dalam sejarah AS.

Di sebalik penurunan kes bunuh di AS pada tahun ini, jenayah ganas mencatat peningkatan  dengan 236,962  kes seumpamanya direkodkan berbanding 226,967 kes sepanjang enam bulan pertama pada 2021.

Serangan yang mendatangkan kecederaan serius kepada mangsa merangkumi sebahagian besar jenayah ganas tahun ini, meningkat kepada 156,735 kes berbanding 152,760 kes setahun lalu. Selain itu, kes rompakan juga melonjak daripada 53,212 kes pada 2021 kepada 60,175 tahun ini.

Jenayah rogol bagaimanapun menurun sebanyak 830 kes dalam enam bulan pertama 2022 dengan  catatan 15,541 berbanding 16,371 kes yang dilaporkan dalam tahun 2021.

Laporan jenayah itu diterbitkan menjelang pilihan raya separuh penggal di AS pada November tahun ini, dengan peningkatan kes jenayah menjadi antara faktor yang dapat mempengaruhi pengundi.

Menurut kaji selidik lain, keganasan senjata api dan  jenayah muncul kategori  kedua paling penting di belakang krisis inflasi yang melanda AS sekarang ini dalam agenda pengundi di negara kuasa besar berkenaan. 

Topik jenayah ganas dan keganasan senjata api menjadi antara isu paling utama kepada pengundi sejak April lalu.

Pakar-pakar menyalahkan sekatan sekatan semasa pandemik dan peningkatan sentimen antipolis sebagai punca peningkatan mendadak kes jenayah sejak kebelakangan ini.

Menurut mereka, anggota-anggota penguatkuasa semakin kurang bertindak tegas susulan gesaan untuk melindungi jabatan polis berikutan beberapa kontroversi melibatkan polis di seluruh negara itu tahun ini. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI