fbpx

134 penduduk AS mati setiap hari akibat senjata api

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELAJAR dan orang ramai mengambil bahagian dalam perarakan di luar Sekolah Tinggi Williamsburg Charter di Brooklyn, Bandar Raya New York, 29 Mac lalu. - AFP

WASHINGTON – Kira-kira 134 orang mati setiap hari di Amerika Syarikat (AS) atau seorang dalam setiap 11 minit yang berpunca daripada keganasan senjata api pada 2021, demikian menurut satu laporan baharu seperti dipetik agensi berita United Press International kelmarin.

Statistik itu adalah rekod tertinggi yang dicatatkan untuk tahun kedua berturut-turut.

Laporan setebal 45 muka surat yang diterbitkan oleh Pusat Penyelesaian Keganasan Senjata Api Johns Hopkins Selasa lalu itu mendedahkan 48,830 orang mati dalam kes pembunuhan dan bunuh diri berkaitan senjata api pada 2021.

Ia merupakan peningkatan 7.6 peratus atau 3,600 lebih banyak berbanding tahun sebelumnya apabila kematian akibat senjata api mencecah rekod tertinggi dalam tempoh 40 tahun ketika pandemik Covid-19.

“Dikeluarkan bersempena dengan Bulan Kesedaran Keganasan Senjata Api, 2021 merupakan tahun kedua berturut-turut di mana rekod tertinggi dicatatkan.

“Senjata api sekali lagi menjadi punca utama kematian dalam kalangan kanak-kanak dan remaja negara ini pada 2021, melebihi kadar kematian akibat Covid-19, kemalangan jalan raya atau kanser,” kata organisasi tersebut.

Sementara itu, ketua pengarang kajian, Ari Davis berkata, lonjakan statistik kematian pada 2020 dan 2021 dilihat seiring dengan peningkatan jualan senjata api ketika berjuta-juta pembeli kali pertama membeli produk itu semasa pandemik.

“Lonjakan jualan senjata api serta undang-undang berkaitannya yang semakin longgar menjadikan kes-kes keganasan akibat senjata api sebahagian daripada perkara sering dilihat di negara kita.

“Ia seterusnya membawa kepada peningkatan mendadak dalam kematian akibat senjata api,” ujarnya.

Tambah Davis, meskipun masih terlalu awal untuk menyatakan sama ada lonjakan dalam pembelian itu menyumbang secara langsung kepada statistik tersebut, kesannya terhadap kesihatan awam tidak boleh dipandang ringan.

“Kita tahu bahawa untuk jangka masa panjang, trend ini hanya akan memburukkan krisis kesihatan awam bagi keganasan senjata api serta memburukkan lagi jurang kesihatan,” jelasnya.

Laporan yang sama selain itu mendapati negeri yang menguatkuasakan undang-undang senjata api lebih ketat mencatatkan kematian lebih rendah.

Selain itu, lelaki berkulit putih yang lebih berusia lebih ramai terlibat dalam kes bunuh diri menggunakan senjata api selain lelaki berkulit hitam lebih banyak menjadi mangsa pembunuhan melibatkan senjata api. – Agensi 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI