fbpx
PEMAIN Belgium memberikan penghargaan kepada penyokong selepas membelasah Amerika Syarikat 4-1 pada aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 di Stadium Seattle, sekali gus mengesahkan kemaraan Red Devils ke suku akhir. – AFP

Piala Dunia 2026: Belgium tamatkan kisah dongeng AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEATTLE – Belgium membuktikan mereka tidak mudah goyah dengan tekanan puluhan ribu penyokong tuan rumah apabila membelasah Amerika Syarikat (AS) 4-1 pada aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026, sekali gus mengesahkan kemaraan bergaya ke pentas suku akhir.

Pengendalinya, Rudi Garcia menyifatkan kemenangan itu sebagai bukti kematangan dan ketenangan dipamerkan anak-anak buahnya yang kekal fokus sepanjang perlawanan meskipun beraksi dalam suasana penuh tekanan di Stadium Seattle.

“Apa yang boleh saya katakan, hari ini bola sepak mengatasi politik. Bola sepak adalah permainan yang indah dan saya tidak suka melihat ada pihak yang mempunyai kuasa cuba merosakkannya,” katanya.

Garcia turut memuji disiplin pertahanannya apabila berjaya mengekang penyerang AS, Folarin Balogun yang gagal memberikan impak besar sepanjang perlawanan meskipun diberikan beberapa peluang pada babak kedua.

“Dia langsung tidak memberi impak dalam perlawanan ini. Pada awalnya saya agak bimbang, tetapi selepas 15 minit pertama saya sudah tahu dia tidak akan menjadi ancaman kepada kami,” jelasnya.

Belgium mempamerkan aksi bertenaga apabila Charles De Ketelaere meledak dua gol, sebelum Hans Vanaken dan Romelu Lukaku melengkapkan kemenangan bergaya Red Devils di Stadium Seattle.

AS sempat menghidupkan harapan menerusi jaringan Malik Tillman pada minit ke-31, namun Belgium segera kembali menguasai permainan apabila De Ketelaere meledak gol kedua hanya dua minit kemudian sebelum kesilapan penjaga gol Matt Freese membuka ruang kepada Vanaken menambah jaringan.

Lukaku kemudian menutup tirai kemenangan menerusi gol pada masa kecederaan, sekali gus memastikan Belgium muncul pasukan terakhir melengkapkan senarai ke pentas suku akhir dan menyingkirkan impian AS di bumi sendiri selepas Kanada serta Mexico turut tersingkir lebih awal.

Kejayaan itu menyaksikan Belgium bakal berdepan Sepanyol di Stadium Los Angeles pada 11 Julai bagi memburu tiket ke separuh akhir, manakala AS terpaksa menamatkan kempen Piala Dunia 2026 selepas gagal memanfaatkan kelebihan selaku tuan rumah. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN