fbpx
Sistem AI akan mengesan kedudukan pejalan kaki agar terus berada di ruang menunggu sebelum melintas jika terdapat kehadiran kenderaan yang melalui jalan.

Kamera AI cegah kemalangan pejalan kaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Penyelidik Korea Selatan berjaya membangunkan teknologi baharu berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan keselamatan pejalan kaki di persimpangan jalan sekali gus membuka lembaran baharu dalam sistem keselamatan lalu lintas masa depan.

Teknologi itu dapat menghantar isyarat amaran kepada pemandu sekitar tiga saat untuk memperlahankan kenderaan sebelum pejalan kaki mula melangkah masuk ke jalan raya.

Ia mengeluarkan amaran antaranya dengan nyalaan lampu LED pada lampu isyarat, papan tanda mesej digital serta bunyi siren yang kuat.

Inisiatif yang dibangunkan oleh Institut Penyelidikan Elektronik dan Telekomunikasi Korea (ETRI) itu telah menjalankan demonstrasi sistem dinamakan Predictive Pedestrian Safety AI Service (Perkhidmatan AI Keselamatan Ramalan Pejalan Kaki) baru-baru ini.

Memetik laporan News Wise, teknologi itu mula diperkenalkan di persimpangan utama di Cheonan, Korea Selatan dan dilihat berpotensi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya secara signifikan.

“Teknologi inovatif itu sedang diuji di beberapa persimpangan utama di bandar Cheonan dan dilihat berpotensi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya secara signifikan pada masa hadapan.

“Berbeza dengan sistem kamera keselamatan konvensional yang hanya mengesan kehadiran pejalan kaki selepas memasuki jalan raya, teknologi baharu ini mampu menjangkakan arah pergerakan seseorang lebih awal,” lapor media itu.

Sistem berkamera AI tersebut turut mengeluarkan amaran dalam bentuk papan tanda mesej digital dan suara pengumuman kepada pejalan kaki.

Sistem berkenaan menggunakan kamera litar tertutup (CCTV), pelayan analisis video serta papan tanda mesej digital bagi memberikan amaran kepada pemandu kira-kira tiga saat sebelum pejalan kaki melintas.

Melalui rakaman CCTV, sistem AI akan menghasilkan peta kawasan secara automatik dalam tempoh dua saat bagi mengenal pasti kawasan berisiko seperti lintasan pejalan kaki dan laluan trafik utama.

Berdasarkan data itu, AI akan menilai tahap risiko dan memaparkan amaran visual kepada pemandu menggunakan skala keselamatan antara tahap sifar hingga empat.

“Pendekatan ini membolehkan pemandu lebih bersedia terutama ketika membelok di kawasan yang mempunyai titik buta penglihatan.

“Ia juga boleh memanjangkan tempoh lampu hijau sekiranya pejalan kaki masih belum sempat melintas sepenuhnya,” katanya.

Teknologi itu turut ditempatkan di bandar metropolitan Daegu bagi meningkatkan keselamatan khususnya golongan kanak-kanak di zon laluan pejalan kaki berhampiran kawasan sekolah.

Kamera AI yang dipasang di kedua-dua hujung lintasan pejalan kaki berfungsi untuk mengesan pergerakan individu secara automatik.

Sistem juga akan mengeluarkan bunyi amaran bahaya atau suara pengumuman secara automatik ketika pejalan kaki cuba melintas sekali gus kembali ke ruangan menunggu.

“Teknologi ini dilihat sangat membantu golongan kanak-kanak dan warga emas yang memerlukan masa lebih panjang untuk melintas jalan.

“Selain digunakan di jalan raya, teknologi ramalan AI itu juga berpotensi diperluas ke sektor keselamatan industri seperti kilang, pusat logistik dan tapak pembinaan,” lapor News Wise.

ETRI menyasarkan teknologi berkenaan dapat dikomersialkan sepenuhnya menjelang tahun 2027 sekali gus membantu merealisasikan matlamat kemalangan jalan raya sifar pada masa depan.

Selain Cheonan dan Daegu, teknologi kamera AI itu turut diperluaskan di beberapa kawasan lain di Korea Selatan antaranya Seoul, Sejong dan Gangwon-do.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN