fbpx

Lelaki maut kepala tersepit dua kontena

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SEBERANG PERAI – Seorang pemandu lori kontena maut selepas bahagian kepalanya tersepit antara dua kontena di kawasan terminal di Butterworth, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.35 tengah malam itu, mangsa yang berusia 23 tahun itu maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri dalam satu kenyataan memaklumkan, mangsa adalah pekerja subkontraktor di terminal kontena tersebut.

“Mangsa dilantik untuk menjalankan kerja-kerja mengangkut kontena kosong menggunakan kepala lori (prime mover) dari jeti ke kawasan penyimpanan kontena kosong.

“Kejadian berlaku ketika mangsa sedang memeriksa pintu kontena yang sedang disusun di atas lori kontena terbabit.

“Pada masa yang sama, seorang pekerja telah menolak kontena terbabit menggunakan pengangkut kontena (reach stacker) untuk merapatkan kedudukan kontena tanpa menyedari mangsa berada di situ,” katanya dalam satu kenyataan di sini lewat malam tadi.

Susulan kejadian itu, satu notis larangan telah dikeluarkan dan lokasi kejadian serta kenderaan yang digunakan telah disita serta-merta sehingga siasatan selesai dijalankan.

Menurut kenyataan itu, tindakan perundangan akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 ke atas pihak yang bertanggungjawab.

“JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam. Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja.

“Majikan bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat penilaian risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

“Kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC),” tambahnya. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI