fbpx

Dahulu bawa senjata, kini pegang berus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. NOOR (tengah) bergambar bersama komuniti setempat yang hadir sempena Program Semarak Uniti-Konvoi Merdeka di Taman Sentosa, Klang semalam.

KLANG – Siapa sangka, di sebalik ketangkasan mengendalikan pistol selama 30 tahun, rupanya tersimpan bakat yang cukup luar biasa sebagai seorang pelukis.

Itu sejarah hidup yang dilalui seorang bekas sarjan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mohd. Noor Mat, 68, dari Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Zon D Taman Sentosa di sini yang kini banyak menghabiskan usia tuanya de­ngan melukis mural bertemakan kemerdekaan dan Keluarga Malaysia.

Menurut Mohd. Noor, minat melukis memang ada dalam dirinya sejak kecil, namun dia memilih untuk menjadi seorang anggota polis atas keinginan untuk berbakti kepada bangsa dan negara.

“Saya meminati bidang seni seperti lukisan sejak di bangku sekolah dan semasa bertugas sebagai anggota polis, saya se­ring dilantik menjadi pengadil bagi pertandingan melukis anak-anak polis.

“Sempena sambutan kemerdekaan tahun ini, KRT kami telah terpilih untuk pertandi­ngan hiasan sempena sambutan kemerdekaan.

“Dengan bakat yang ada, saya telah melukis kesemua mural mengikut tema yang ditetapkan hanya dalam masa beberapa hari,” katanya sempena Program Semarak Uniti-Konvoi Merdeka Sempena Sambutan Kemerdekaan Kali Ke-65 di sini semalam.

Menceritakan pengalamannya sebagai anggota polis, Mohd.Noor yang menamatkan kerjaya dengan pangkat sarjan me­ngakui tidak pernah gentar berdepan penjenayah bagi memastikan keselamatan negara dan masyarakat terjaga.

“Saya berharap generasi hari ini menghargai kemerdekaan yang ada kerana tanpa pengorbanan pasukan keselamatan, keamanan yang ada sukar dipertahankan. Lukisan boleh dilukis mengikut kreativiti tetapi keamanan perlu dikekalkan dengan perpaduan sejati dalam masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa KRT Zon D Taman Sentosa, Omar Shahlan berkata, usaha kreatif Mohd. Noor telah berjaya menyuntik semangat dalam kalangan penduduk untuk sama-sama menceriakan sambutan bulan kemerdekaan.

“Selain Mohd. Noor, masyarakat berbilang bangsa di sini turut berganding bahu menjayakan program kemerdekaan yang diadakan selepas dua tahun kita tidak melakukannya kerana pandemik Covid-19,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI