fbpx

Sindiket minyak diesel tumpas, pelbagai barangan bernilai lebih RM500,000 dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTARA tangki petak berisi minyak diesel yang berjaya dirampas dalam satu serbuan oleh pihak polis dan KPDNHEP di kawasan Perindustrian Semambu di Kuantan.

KUANTAN – Polis berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan diesel bersubsidi selepas menahan 16 orang suspek serta merampas diesel dan pelbagai barangan bernilai lebih setengah juta dalam satu serbuan di kawasan Perindustrian Semambu di sini semalam.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Abdul Razak Mohd Yusoof berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 4.10 petang itu polis merampas 19,400 liter minyak diesel bernilai RM41,710 dan pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk menyeludup diesel dengan nilai keseluruhan RM582,550.

“Hasil intipan pihak polis menahan sebuah lori dipandu seorang lelaki bersama seorang kelindan dan pemeriksaan lanjut dalam lori menemukan dua tangki petak mengandungi cecair diesel berjumlah 1,800 liter diikuti satu serbuan di sebuah stor di kawasan Perindustrian Semambu yang berjaya menahan 14 individu.

“Berdasarkan pemeriksaan di situ pihak polis menemui 18 tangki petak berisi cecair disyaki minyak diesel dianggarkan berjumlah 16,200 liter dan 16 tangki petak berisi cecair minyak diesel dengan anggaran jumlah sebanyak 3,200 liter,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, dalam serbuan itu polis turut merampas tiga buah lori, enam buah kereta, dua set pam penyedut minyak, empat tangki petak kosong, satu unit generator elektrik, 81 keping resit pembelian minyak diesel dan 16 unit telefon bimbit.

Menurut Abdul Razak, kes diserah kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Pahang untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 21 (memiliki barang kawalan tanpa lesen) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta sekiranya bukan perbadanan dan penjara tiga tahun bagi kesalahan pertama dan tidak kurang RM3 juta denda sekiranya perbadanan.

Dalam pada itu katanya, pihak polis akan terus mempergiatkan lagi operasi membanteras aktiviti penyimpanan minyak bersubsidi dengan kerjasama KPDNHEP terutamanya di negeri ini yang telah menyebabkan kerugian cukai kepada negara.

“Saya menyeru kepada masyarakat agar sentiasa menyalurkan maklumat berkaitan apa jua aktiviti jenayah yang berlaku di persekitaran anda yang boleh menggugat kesejahteraan dan keselamatan kehidupan masyarakat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI