fbpx

Muktamar: Tak perlu dedah butiran rundingan dengan UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Takiyuddin (dua kanan) ketika mengiringi Abdul Hadi (tengah) melakukan gimik perasmian Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah, semalam. /FOTO SHAHIR NOORDIN

ALOR SETAR – Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mempertahankan kenyataan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu ketika ini sedang mengadakan perbincangan bersama beberapa pemimpin UMNO mengenai strategi untuk mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurut Takiyuddin, rundingan tersebut dibuat di peringkat tertentu yang tidak perlu didedahkan.

Malah katanya, beliau optimis betapa perbincangan yang berjalan itu mampu membawa kepada rundingan rasmi selepas ini.

“Tak perlu kita dedahkan tetapi saya mengesahkan bahawa kita memang sedang mengadakan perbincangan secara rasmi dan tidak rasmi.

“Perbincangan itu diadakan dengan pemimpin yang kita rasa tidak semestinya boleh buat keputusan tetapi menuju ke arah untuk kita lakukan perbincangan yang lebih rasmi selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas berakhir Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-68 di Kompleks Pas Kedah di sini hari ini.

Terdahulu, Abdul Hadi pada sidang akhbar memaklumkan, rundingan antara UMNO dan Pas ketika ini masih berjalan melibatkan pimpinan kedua-dua parti termasuk di peringkat akar umbi.

Kenyataan itu mendapat reaksi  Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mendakwa tiada sebarang rundingan oleh mana-mana kepimpinan partinya seperti didakwa Abdul Hadi.

Mengulas lanjut Takiyuddin berkata, Mohamad Hasan juga pernah bersetuju sebelum ini apabila ada pandangan daripada pimpinan Pas yang menyatakan kerusi tertentu boleh dibincangkan bagi mengelakkan ia dimenangi pihak ketiga (Pakatan Harapan).

“Itu saya rasa diakui Timbalan Presiden UMNO sendiri. Jadi dalam perbincangan kali ini, perkara itu jugalah yang dibincangkan.

“Politik ini tak semestinya anda terus berada di meja rundingan secara rasmi saja. Ada juga perbincangan secara tak rasmi kerana apa yang lebih penting adalah kehendak ahli,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI