fbpx

KKM umum keputusan permohonan sertai Sesi Akademik Tahun 2022/2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairy Jamaluddin.

PUTRAJAYA – Pegawai perubatan dan pegawai pergigian lantikan tetap juga kontrak kini boleh menyemak keputusan permohonan Cuti Belajar Bergaji Penuh (CBBP) dengan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) dan Program Latihan Kepakaran (PLK) dengan Biasiswa Kementerian Kesihatan (KKM) bermula hari ini.

Ia adalah bagi membolehkan pegawai-pegawai berkenaan mengikuti Program Pengajian Kepakaran Sarjana Perubatan, Sarjana Pergigian dan Program ‘Parallel Pathway’ bagi Sesi Akademik Tahun 2022/2023

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, iklan permohonan bagi mengikuti mengikuti program-program berkenaan telah dikeluarkan pada 28 Januari lalu dan proses pemilihan calon telah bermula selepas tarikh tutup permohonan pada 10 Mac 2022.

“Seramai 1,347 pegawai perubatan telah berjaya dipilih dan ditawarkan mengikuti Program Pengajian Kepakaran Sarjana Perubatan, Sarjana Pergigian dan Program ‘Parallel Pathway’ bagi Sesi Akademik Tahun 2022/2023.

“Pada proses pemilihan kali ini juga, seramai 216 pegawai lantikan kontrak telah ditawarkan mengikuti Program Pengajian Kepakaran menerusi PLK dengan Biasiswa KKM,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, tawaran tersebut adalah buat yang pertama kalinya diberikan kepada pegawai lantikan kontrak sejak skim lantikan kontrak diwujudkan pada tahun 2016.

Menurut Khairy Jamaluddin, tawaran program pengajian kepakaran dengan tajaan menerusi PLK itu juga adalah selaras dengan keputusan Jemaah Menteri untuk mewujudkan laluan kerjaya yang setara antara pegawai lantikan tetap dan pegawai lantikan kontrak.

“Secara keseluruhanya, seramai 1,232 pegawai telah ditawarkan ke Program Pengajian Kepakaran Sarjana Perubatan, seramai 54 pegawai ditawarkan Sarjana Pergigian, manakala 61 pegawai lagi ditawarkan ke Program Parallel Pathway.

“Pegawai boleh menyemak menerusi laman web sistem eHLP di alamat http://ehlp.moh.gov.my berhubung status permohonan tawaran CBBP dengan HLP dan PLK dengan Biasiswa KKM bagi pegawai yang berjaya mengikuti Program Pengajian Kepakaran,” ujar beliau.

Tambah beliau, permohonan CBBP dengan HLP dan PLK dengan Biasiswa KKM untuk mengikuti Program Pengajian Kepakaran Sarjana Perubatan, Sarjana Pergigian dan Parallel Pathway bagi Sesi Akademik 2023/2024 akan mula dibuka pada Oktober depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI