KUALA LUMPUR – Had kepekatan alkohol dalam darah (BAC) sebanyak 0.05 yang diguna pakai di negara ini adalah selaras dengan standard yang ditetapkan di bawah undang-undang serta indikator dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM).
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohammed Hasbullah Ali berkata, pihaknya turut meneliti pendekatan dilaksanakan di Taiwan dan Singapura dalam usaha memperkukuh undang-undang berkaitan keselamatan jalan raya.
“Di negara Asia lain kita buat kajian seperti Taiwan dan Singapura yang telah menyemak semula hukuman serta memperketatkan penguatkuasaan.
“Kita juga berbincang dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memperkukuh sistem merit dan demerit. Had 0.05 yang kita gunakan sudah memadai sebagai indikator ditetapkan Kementerian Kesihatan.
“Jadi kita mengikut standard yang dibenarkan di bawah undang-undang negara,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan kerajaan digesa mengkaji semula had BAC yang dibenarkan bagi pemandu bagi mengurangkan risiko kemalangan akibat pemanduan di bawah pengaruh alkohol.
Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad dilaporkan berkata, had BAC di Malaysia ketika ini ialah 0.08 peratus, lebih tinggi berbanding beberapa negara Asia seperti Jepun dan Korea Selatan yang menetapkan had 0.03 peratus, manakala China hanya 0.02 peratus. – KOSMO! ONLINE














