fbpx

Physiogo mahu tembusi pasaran ASEAN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Arif (kanan bersama sebahagian daripada kakitangannya di ibu pejabat Physiogo di Bangi baru-baru ini.

PETALING JAYA – Berpotensi tidak kira dalam fasa negara dilanda kegawatan kewangan, pandemik virus berbahaya atau dalam keadaan kegawatan ekonomi, perkhidmatan daripada ahli fisioterapi kini semakin diperlukan untuk membantu­ menyelesaikan masalah kesihatan masyarakat sama ada yang berusia muda ataupun warga emas.

Ini kerana rata-rata masyarakat se­ring terdedah de­ngan pelbagai risiko kemalangan atau kesakitan ketika sedang be­kerja, di jalan raya ataupun hanya di dalam rumah.

Berdasarkan faktor tersebut, usahawan yang berasal dari Kelantan, Mohamad Arif Mohd. Yusuf, 30, memulakan langkah kanan dengan meneroka bidang tersebut melalui syarikat milik­nya, Physiogo Sdn. Bhd. ­(Physiogo) pada tahun 2017 hingga kini yang telah memiliki lima cawangan di Lembah Klang.

Physiogo yang beribu pejabat di Bangi, Selangor itu turut memiliki lebih 40 kakitangan termasuk perawat berkelayakan dengan kelulusan sebagai ahli fisioterapi serta menawarkan ­khidmat terbaik berasaskan kajian sains.

Usahawan lulusan Universiti Islam Malaysia (UIA) tersebut te­lah memulakan perniagaan itu secara kecil-kecilan dengan menawarkan khidmat kepada kenalan dan pelanggan melalui lawatan dari rumah ke rumah.

“Pelanggan pertama saya adalah seorang yang aktif bersukan di Shah Alam dengan bayaran sulung sebanyak RM80. Bermula dari situ, saya terus-menerus menerima permintaan untuk per­khidmatan rawatan ini sehingga sekarang.

“Daripada permulaan tersebut yang menjadi asbab kepada pengembangan perniagaan, saya telah membuka cawangan pertama dengan menyewa sebuah kedai di Bangi dan mengambil pekerja untuk membantu.

“Bila sudah ada kedai, sesi menawarkan khidmat fisioterapi kepada pelanggan boleh ditambah sehingga lebih kurang 20 sesi setiap hari,” katanya ketika ditemui di cawangan Physiogo di Seksyen 14, Bangi baru-baru ini.

Anak penjual nasi di Kelantan ini terus melebarkan sayap ope­rasinya dengan membuka cawangan kedua di Wangsa Maju, Kuala Lumpur,.

Lebih menarik proses pengembangan perniagaan tersebut adalah daripada dana dalaman dan tidak melibatkan sebarang pinjaman daripada mana-mana institusi kewangan atau perbankan.

Mengulas lanjut mengenai perkhidmatan syarikat, Mohamad Arif menerangkan, majo­riti pelanggannya adalah individu yang berumur 40 tahun ke atas dan mereka yang terdiri daripada individu aktif bersukan, ber­kerjaya, mereka yang terdedah kepada kerja-kerja lasak dan juga warga emas atau pesakit angin ahmar serta individu yang terlibat dalam kemalangan menyebabkan lumpuh atau kehila­ngan kaki atau tangan.

Setiap sesi yang memakan masa kira-kira sejam dikenakan bayaran sama di semua cawa­ngan iaitu sebanyak RM200 kecuali pada hari-hari tertentu untuk tujuan promosi, maka harga diskaun menarik akan ditawarkan.

“Rawatan di Physiogo diadakan berasaskan kepada sesi penilaian terlebih dahulu dengan mengenal pasti masalah dan disusuli dengan rawatan berdasarkan masalah spesifik yang dialami pelanggan.

“Kami menekankan teknik terapi manual dalam rawatan yang mana ia digabungkan bersama rawatan elektroterapi dan juga senaman terapi serta konsultasi fisioterapi kepada pelanggan.

“Ia bertujuan membantu pelanggan mengatasi rasa sa­kit, membantu memperbaiki masalah sendi, mendapatkan fungsi anggota badan ke tahap optimum dan memastikan hasil rawatan berkesan untuk jangka masa panjang ” jelasnya.

Usahawan itu juga bercita-cita tinggi untuk menyenaraikan syarikatnya di Bursa Malaysia pada masa depan.

Bagi fasa semasa, beliau bercadang untuk menambah lima lagi cawangan baharu pada tahun 2023 dengan mengintai peluang membuka rangkaian di luar Lembah Klang seperti di Pulau Pinang.

Pelaburan setiap cawangan baharu mengikut lokasi adalah diramalkan kira-kira RM500,000 dan membuka peluang kepada mana-mana usahawan yang berminat untuk menceburi perniagaan bernilai tinggi itu.

Tambahnya, pe­luang perniagaan itu akan dibangunkan bersama Physiogo melalui konsep mekanisma pelaburan pemegang saham atau pemegang taruh.

Lebih mengujakan, beliau menyimpan misinya untuk me­nembusi pasaran ke Asia Tenggara dengan menjadikan ia sebagai salah satu jenama kebanggaan rakyat sekali gus mengharumkan nama negara dalam industri tersebut di pe­ringkat global.

Ditanya mengenai persaingan sengit yang dihadapi khususnya daripada pemain dan juga perkhidmatan yang lebih kurang sama, beliau berkeyakinan terhadap keunikannya tersendiri dalam me­ningkatkan keyakinan pelanggan agar memilih dan terus setia bersama Physiogo.

Tambah beliau, ciri-ciri eksklusif diutamakan seperti konsep persekitaran pusat rawatan lebih eksklusif dan unggul dengan menempatkan setiap pelanggan dalam satu bilik khas.

Syarikat juga sentiasa menjaga privasi pelanggan seperti ahli fisioterapi lelaki hanya akan menawarkan khidmat kepada pelanggan lelaki dan sama juga untuk golongan wanita.

“Kami juga sentiasa mengutamakan kualiti rawatan de­ngan mengadakan latihan dalam kalangan perawat, menjalankan audit berkala dan juga menjalankan pengawalan kualiti kepada semua cawangan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mohamad Arif melihat pelanggan ­Physiogo pada peringkat awalnya kelihatan sangat lemah semangat untuk meneruskan kehidupan sehingga ada yang berasa putus asa untuk hidup memandangkan fizikal badannya tidak sempurna seperti orang lain.

“Sebenarnya itu bukan saat pengakhiran dalam hidup mereka kerana pasti ramai yang membantu menyokong mereka.

“Kita akan bersama pelanggan serta sokongan daripada ahli keluarga untuk sama-sama me­neroka mencari potensi yang ada agar mereka kembali sembuh secara semula jadi secara berpe­ringkat-peringkat.

“Kita ikhtiar mencari peluang kedua dalam hidup mereka yang diberikan-Nya untuk menikmati kembali kehidupan secara normal walaupun mungkin bukan 100 peratus dan di sinilah pe­ranan kami untuk membantu mereka melalui ilmu, pengalaman serta kemahiran kami yang sememangnya berasaskan sains,” terangnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI