PETALING JAYA – Hanya mengenakan caj sebanyak RM5 untuk sepasang kasut, kegigihan seorang pak cik yang bekerja sebagai pengilat kasut jalanan mengundang rasa perhatian pengguna media sosial.
Menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di aplikasi Threads oleh Theqiqikamari, walaupun sudah bertahun-tahun bekerja di kawasan tersebut, dia tidak pernah berhenti singgah sehinggalah pada hari kejadian apabila mendapati kasutnya kelihatan kusam.
“Hari ni, kebetulan kasut aku dah kusam. Jadi aku berhenti dan minta pak cik tolong polish (mengilat). Pak cik hulur sepasang selipar untuk aku pakai sementara,” katanya.
Menurutnya, pak cik berkenaan hanya mampu tersenyum apabila ditanya mengenai jualan yang diterima kerana tidak mempunyai ramai pelanggan dan sekadar memperoleh pendapatan untuk membeli makanan sebelum pulang ke rumah.
“Sambil tunggu kasut siap, aku termenung. Aku kerja bawah aircond (penyaman udara), cukup makan dan pakai, ada gaji dan masih diberi nikmat sihat serta peluang hidup.
“Tapi aku selalu mengeluh penat bekerja sedangkan pak cik ini masih berusaha untuk cari duit walaupun dah berusia,” ujarnya.
Tambahnya, kadar upah yang dikenakan hanya RM5 dan lelaki itu membayar tanpa menerima baki wang sebagai tanda penghargaan atas pengajaran yang diberikan oleh pak cik itu.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut meluahkan rasa sebak melihat kegigihan warga emas tersebut yang masih keluar mencari rezeki demi kelangsungan hidup.
“Sebak tengok pak cik macam ini masih berjuang untuk dapatkan sesuap nasi. Terima kasih encik sebab sudi kongsi rezeki,” kata @Hsydhsbllh.
“Semoga pak cik ni dilimpahkan rezeki yang tidak diduga dan kesihatan yang baik selalu,” tambah @Fila80sha. – KOSMO! ONLINE














