fbpx
Cheong Yu Min (tiga dari kanan) menunjukkan sebahagian minuman keras yang dirampas di Pelabuhan Sepanggar baru-baru ini.

Kastam Sabah gagalkan cubaan seludup masuk minuman keras bernilai RM1.136 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas empat kontena minuman keras dianggarkan bernilai RM1.136 juta membabitkan tiga rampasan berasingan di Pelabuhan Sepanggar, baru-baru ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Cheong Yu Min berkata, rampasan pertama adalah menerusi pemeriksaan imej mesin pengimbas yang meragukan ke atas sebuah kontena di Pelabuhan Sepanggar pada 11 Ogos lalu.

“Dalam periksaan sekitar pukul 9.45 pagi itu menjumpai sebanyak 18,236 liter minuman keras disyaki tak bercukai dengan anggaran nilai keseluruhan RM284,139.95.

“Rampasan kedua dibuat apabila pasukan penguatkuasaan menahan dua kontena yang turut dikesan melalui mesin pengimbas di Pelabuan Sepanggar pada 16 Ogos lalu kira-kira pukul 9.05 pagi .

“Pemeriksaan mendapati kedua-dua kontena mengandungi minuman keras pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM594,410.86,” katanya dalam sidang akhbar di Pelabuhan Sepanggar hari ini.

Mengulas lanjut, Cheong Yu memaklumkan rampasan ketiga pula dilaksanakan pada 17 Ogos lalu kira-kira pukul 11.10 pagi.

Menurutnya, apabila pasukan penguatkuasaan membuat penahanan terhadap sebuah kontena selepas disyaki digunakan untuk menyeludup masuk minuman keras di Pelabuhan Sepanggar.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat sejumlah 16,632 liter minuman keras ditemui dengan anggaran nilai harga selepas duti dan cukai berjumlah RM257,862.53.

“Secara keseluruhannya, jumlah rampasan membabitkan keempat-empat kontena berisi minuman keras yang disyaki cuba diseludup masuk dianggarkan bernilai RM1,136,413.04,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, modus operandi bagi ketiga-tiga kes adalah dengan cara mengikrar dagangan import dengan barang lain bagi tujuan menyeludup dalam usaha mengaburi pihak berkuasa.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(a) Akta Kastam 1967,” katanya. – KOSMO! ONLINE

POPULAR