PETALING JAYA – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengambil langkah tegas dalam membanteras gejala buli menerusi penubuhan Task Force (TF) Anti Buli ATM bagi memperkukuh budaya profesionalisme, disiplin dan tatakelola dalam organisasi pertahanan negara.
Inisiatif yang diilhamkan oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman itu dilaksanakan selaras dengan Tonggak Kedua dalam Perintah Ulung beliau di bawah tema ‘Tatakelola Tuntas, Integriti Terpelihara’.
Menurut ATM, tonggak berkenaan menekankan kepentingan memperkukuh sistem pengurusan organisasi, integriti serta kesejahteraan warga ATM secara menyeluruh.
“PAT menegaskan budaya buli tidak boleh dikompromi kerana isu berkenaan bukan sahaja menjejaskan disiplin dan moral anggota, malah berpotensi memberi implikasi terhadap kesiapsiagaan operasi, keberkesanan pemerintahan serta imej institusi pertahanan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu menambah, penubuhan TF Anti Buli ATM bertujuan melaksanakan penilaian menyeluruh terhadap situasi semasa dan trend kes buli dalam ATM.
“Ia termasuk menilai keberkesanan dasar, prosedur operasi standard (SOP), mekanisme pelaporan serta langkah penguatkuasaan sedia ada.
“Selain itu, langkah itu juga bagi mengenal pasti kelemahan sistemik dan ruang penambahbaikan dalam pengurusan isu berkenaan,” ujarnya.
TF Anti Buli ATM menghimpunkan wakil daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM melibatkan Darat, Laut dan Udara selain beberapa formasi serta bahagian berkepentingan termasuk aspek perundangan, polis tentera, psikologi, kaunseling, keselamatan dan pengurusan risiko.
“Pendekatan bersepadu ini penting bagi memastikan setiap tindakan pencegahan, pemantauan dan pengendalian kes dapat dilaksanakan secara lebih terselaras, sistematik dan berkesan di semua peringkat organisasi,” katanya.
Sebagai langkah awal, ATM kini melaksanakan analisis menyeluruh terhadap data dan statistik kes buli dari tahun 2022 hingga April 2026 bagi mengenal pasti trend semasa, faktor penyumbang serta cabaran pengurusan di peringkat unit dan formasi.
“Usaha inj turut melibatkan lawatan lapangan bersasar ke unit-unit yang dikenal pasti berisiko tinggi bagi memastikan tindakan intervensi dan pemantauan dapat dilaksanakan secara lebih holistik dan berfokus.
“Pelan Tindakan Strategik Anti-Buli ATM sedang dibangunkan sebagai panduan komprehensif bagi memperkukuh struktur pelaporan, pemantauan, penguatkuasaan dan tindakan pencegahan secara berterusan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE














