PUTRAJAYA – Kabinet meluluskan penubuhan Suruhanjaya Bersama Pendidikan Tinggi Malaysia-China sebagai platform kerjasama dua hala memperkukuh hubungan dan meningkatkan kualiti pendidikan tinggi negara di peringkat antarabangsa.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, menerusi penubuhan suruhanjaya itu, kedua-dua negara akan mengadakan pertemuan tahunan bagi membincangkan pelbagai perkara berkaitan sektor pendidikan tinggi.
Beliau berkata, suruhanjaya berkenaan telah ditandatangani, manakala mesyuarat pertamanya dijadualkan berlangsung di China tahun depan.
“Terbaharu, Kabinet telah meluluskan Joint Commission on Higher Education (Suruhanjaya Bersama Pendidikan Tinggi). Maksudnya, pertemuan akan diadakan setiap tahun di kedua-dua negara tentang pendidikan tinggi.
“Ia telah pun ditandatangani dan Insya-Allah mesyuarat pertama akan diadakan di China tahun hadapan.
“Ia sepatutnya diadakan pada tahun ini, tetapi kita tangguhkan kerana ada perkara yang perlu diselesaikan di Malaysia.
“Jadi, kita ubah ke tahun hadapan. Ini merupakan langkah ke hadapan dalam pengantarabangsaan pendidikan tinggi Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Festival Idea Putrajaya (FOI Putrajaya) di sini hari ini.
Mengulas penganjuran FOI 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 17 November, Zambry berkata, festival yang memasuki tahun ketiga itu berjaya mengangkat Malaysia sebagai antara pusat rujukan dalam bidang pendidikan dan wacana intelektual.
Katanya, penganjuran kali ini turut mendapat penyertaan menteri dari beberapa negara termasuk Uzbekistan, Filipina, Indonesia dan Kazakhstan.
Selain itu, perbincangan berkaitan penyelidikan turut membabitkan lapan negara menerusi The University Network for Research Cooperation (iUNRC).
“Di sinilah kita hendak mewujudkan satu budaya baharu dalam masyarakat supaya generasi kita dapat berfikir dan menghasilkan idea yang baik untuk pembangunan negara pada masa kini dan akan datang,” katanya.
FOI 2026 merupakan inisiatif bagi merakyatkan idea dan pendidikan tinggi, selain mempromosikan Malaysia sebagai pusat wacana intelektual serta inovasi di peringkat serantau dan global.
Festival itu menghimpunkan pemimpin pemikiran, pakar, pembuat dasar, ahli akademik, pemain industri dan masyarakat umum bagi membincangkan serta berkongsi idea inovatif dan penyelesaian terhadap cabaran semasa yang dihadapi negara dan dunia. – KOSMO! ONLINE














