fbpx
Abdul Rashid (kanan) bersama sebahagian pesawah menunjukkan keadaan padi yang diserang penyakit BPB di sekitar Yan semalam.

Pesawah rugi RM1.5 juta gara-gara penyakit hawar bulir bakteria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN – Kira-kira 300 pesawah di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Wilayah 4 daerah ini mengalami kerugian mencecah RM1.5 juta selepas tanaman padi mereka diserang penyakit hawar bulir bakteria (BPB) pada musim tuaian kali ini.

Exco Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia, Abdul Rashid Yob berkata, penyakit BPB itu menyerang kawasan sawah padi seluas 500 hektar yang terletak di beberapa buah kampung.

“Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Dulang Kechil, Kampung Dulang Besar, Kampung Sungai Limau, Kampung Sungai Lintang dan Kampung Sungai Udang,” katanya pada sidang akhbar di Kampung Dulan Kechil di sini semalam.

Katanya, penyakit itu menyebabkan biji padi menjadi hampa dan seterusnya mengurangkan berat timbangan padi selepas tanaman itu dituai.

“Ini menyebabkan hasil tuaian padi pada musim ini berkurangan kira-kira 50 peratus dan ia merupakan kejatuhan hasil pa­ling teruk yang pernah dialami pesawah setakat ini.

“Purata hasil padi yang diperoleh pesawah pada kali ini ialah sebanyak 1.2 metrik tan bagi keluasan 0.3 hektar sawah padi,” ujarnya.

Menurutnya, kawasan Dulang kebiasaannya mengeluarkan hasil terbesar padi MADA, namun kali ini jumlah hasil yang diperoleh turun mendadak.

“Hasil kali ini menyebabkan pesawah berasa tertekan kerana terpaksa menanggung kerugian,” jelasnya.

Sementara itu, pesawah, Mohd Rosdi Yahaya, 54, berkata, serangan penyakit itu boleh dikategorikan sebagai bencana kerana memberikan kerugian besar kepada ramai petani selain tiada racun khusus untuk mengatasinya.

“Keadaan ini memang perit bagi kami memandangakan kos untuk mengusahakan tanaman padi seperti racun dan baja juga telah meningkat, namun hasil yang diperoleh sangat berkurangan.

“Saya harap pihak kerajaan dapat turun padang untuk mendengar sendiri masalah yang dihadapi para pesawah ini dan bukan sekadar mendengar daripada agensi-agensi tertentu sahaja,” ujarnya.

Seorang lagi pesawah, Harun Ahmad, 63, berkata, dia berharap pihak kerajaan dapat membantu mereka dari segi kewangan ­susulan kerugian yang dialami ketika ini.

“Separuh pendapatan kami telah hilang akibat wabak penyakit ini dan terpaksa bertahan selama enam bulan lagi dengan pendapatan yang sedikit untuk menyara hidup.

“Selain itu, kami juga perlu memikirkan cara untuk mendapatkan semua modal bagi menghadapi musim padi berikutnya,” katanya.

POPULAR