fbpx

Burnout, buli berlaku dalam KKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN. - FOTO/ PUQTRA HAIRRY ROSLI

PUTRAJAYA – Pasukan Petugas Khas bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF) mengesahkan selama ini berlaku burnout atau lesu upaya) dalam kalangan warga Kementerian Kesihatan (KKM).

Pengerusinya, Prof. Datuk Dr. Siti Hamisah Tapsir berkata, selain burnout, antara gejala lain yang dikenal pasti dalam kementerian itu adalah buli dan budaya kerja kurang sihat.

“Ia berlaku pada tahap yang berbeza dan bukan di semua fasiliti kementerian (KKM) di­sebabkan pelbagai faktor termasuklah kurangnya kecekapan dalam pengurusan kerja,” kata­nya pada taklimat khas HWCITF di sini semalam.

Menurut Dr. Siti Hamisah, pihaknya mendapati, kadar pematuhan terhadap pelaksa­naan sistem kerja pegawai perubatan siswazah (PPS) anjal yang dinyatakan dalam garis panduan juga dilihat tidak menyeluruh di hospital.

“Latihan diterima mereka didapati tidak begitu konsisten antara satu hospital dengan hospital yang lain di samping tekanan tugasan melibatkan tempoh waktu kerja panjang.

“Justeru, kami mencadang agar pendekatan lebih berstruktur melalui pematuhan dan pemantapan standard serta garis panduan sedia ada selain sumber manusia dioptimumkan,” katanya.

Jelas beliau, KKM juga perlu menambah baik kemudahan prasarana untuk pesakit demi memastikan kesinambungan sistem penjagaan kesihatan awam dapat disampaikan secara baik.

“Banyak juga urusan kerja dilakukan secara manual selain kekurangan pendigitalan meng­akibatkan beban kakitangan meningkat dan berlaku kelewatan dalam rawatan.

“Tidak ketinggalan, proses pengurusan saluran aduan dalaman juga perlu ditambah baik selain memastikan elemen ke­rahsiaan bagi memberi keyakinan kepada pengadu untuk tampil bersuara,” ujarnya.

Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan ke atas 110,411 pegawai dan kakitangan KKM sebagai responden, kira-kira 20 peratus mengakui budaya kerja bersifat negatif, manakala 20 peratus lagi memutuskan untuk menjadi neutral.

Sebanyak 60 peratus pula mengatakan suasana kerja bersifat positif.

Ujar beliau, kaji selidik mendapati budaya buli tidak hanya berlaku dalam kalangan PPS, malah merentasi semua peringkat warga kerja KKM sama ada secara langsung atau tidak langsung.

“Antara faktor penyumbang ialah kekurangan kecekapan, kemahiran dan tahap kesediaan untuk melaksanakan tugasan yang diamanahkan,” katanya.

Kaji selidik tersebut melibatkan hampir separuh daripada keseluruhan staf KKM yang berjumlah 227,736 orang.

Sebelum itu, Dr. Siti Hamisah memaklumkan, kematian seorang doktor pelatih yang terjatuh dari sebuah apartmen di Pulau Pinang kira-kira empat bulan lalu disahkan tidak mempu­nyai unsur gejala buli.

Keputusan itu dibuat berdasarkan hasil analisis ke atas laporan pengesanan dan pengesahan dijalankan Unit Integriti KKM.

“Hasil analisis ke atas laporan pengesanan dan pengesahan Unit Intergriti, kami merumuskan tiada bukti kukuh mengaitkan elemen buli di tempat kerja.

“Kami mengekalkan panda­ngan bahawa isu kematian PPS tidak ada kena-mengena dengan unsur buli kecuali ada lagi maklumat baharu,” katanya.

Dr. Siti Hamisah berkata, setakat ini, tiada perkembangan dikeluarkan polis melalui penyiasatan ke atas kes tersebut.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberitahu. beliau mengambil maklum berhubung laporan yang dikeluarkan oleh HWCITF semalam.

Menurut laporan pasukan khas itu, walaupun tiada unsur buli bagi kes kematian PPS di Pulau Pinang, namun insiden burnout dan buli serta budaya kerja kurang sihat disahkan berlaku di beberapa fasiliti KKM.

“Kami perlu mula mengubah budaya dan organisasi di KKM berdasarkan cadangan HWCITF,” ciap beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI