SHAH ALAM – Penduduk kampung dan nelayan merupakan sebahagian daripada individu yang diupah sebagai ‘tonto’ bagi memberi maklumat kepada sindiket penyeludupan sekiranya terdapat operasi pihak berkuasa.
Sindiket akan mengupah lebih 10 tonto atau pengintip berusia antara 40 hingga 50 tahun untuk setiap kegiatan penyeludupan.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim V. Siva Kumar berkata, siasatan mendapati pengintip sekadar mahukan wang dengan duduk memancing sambil menghisap rokok sebelum menyalurkan maklumat menggunakan walkie talkie atau telefon bimbit.
“Setiap maklumat yang diberi akan dibayar antara RM300 hingga RM400. Biasanya ada lebih 10 tonto digunakan bagi setiap penyeludupan.
“Ada juga sindiket mencari pekerja dalam kalangan warga asing atau tempatan mengikut tempoh sesuatu trip perjalanan dan menerima upah antara RM150 hingga RM200 sehari,” katanya.
Menurut Siva Kumar, ketua penyeludup pula akan menggunakan kad sim pakai buang bagi memutuskan sebarang rangkaian yang telah wujud apabila seseorang tekong atau tonto ditangkap untuk siasatan lanjut.
“Penyeludup ini umpama penyelia apabila memberi arahan kepada orang bawahan untuk bersedia di kawasan-kawasan telah ditentukan bagi memudahkan aktiviti penyeludupan tersebut.
“Orang-orang bawahan (tekong dan tonto) tidak mengenali penyeludup kerana kad sim dipakai mereka akan dibuang setiap kali urusniaga bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya. -KOSMO! ONLINE














