fbpx
Sebahagian pasangan yang ditahan dalam operasi khalwat di sebuah hotel bajet di Padang Temusu, Sungai Petani pada malam semalam.

Pasangan warga emas dicekup berkhalwat merayu dilepaskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI – Sepasang warga emas berusia 60 tahun yang ditahan dalam operasi khalwat di sebuah bilik hotel bajet di Padang Temusu di sini pada malam semalam merayu dilepaskan kerana enggan keluarga menanggung malu akibat perbuatan mereka itu.

Lelaki warga emas terbabit bertindak memeluk anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kuala Muda sambil merayu tidak ditahan.

Wanita warga emas turut membuat rayuan sama sambil memegang tangan anggota penguat kuasa.

Pasangan warga emas terbabit ditahan bersama empat pasangan remaja dalam operasi khas tersebut susulan aduan orang awam.

Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Mohd. Noor Ismardi Ismail berkata, operasi itu dilakukan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Skuad Badar selepas pihaknya mendapat maklumat hotel bajet itu sering dikunjungi pasangan remaja untuk menginap di situ.

“Semasa serbuan, kita berjaya menahan pasangan remaja berusia antara 15 hingga 21 tahun yang ditemui berdua-duaan di dalam beberapa bilik.

“Turut ditahan ialah sepasang warga emas yang memberi pelbagai alasan termasuk sanggup memeluk anggota kita dan minta dilepaskan kerana tidak mahu perbuatan mereka diketahui keluarga ekoran telah mempunyai cucu,” katanya.

Ujarnya, kesemua pasangan itu ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2014.

“Kelima-lima pasangan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk proses dokumentasi dan memanggil waris untuk proses tindakan selanjutnya.

“Kita akan sentiasa melakukan intipan dan serbuan jika menerima maklumat berkaitan pasangan Islam menjadikan hotel murah untuk melakukan perbuatan menyalahi syariat Islam,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai menyalurkan sebarang maklumat kegiatan seperti itu ke Pejabat Agama Daerah Kuala Muda untuk diambil tindakan dalam usaha membanteras perbuatan keji tersebut. – KOSMO! ONLINE

POPULAR