fbpx

Hati-hati ‘bermain’ di hutan, gunung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Meneroka alam semula jadi merupakan sesuatu yang menyeronokkan. Dapat melihat kehijauan hutan, merasai hikmatnya alam serta segarnya udara.

Meneroka alam juga menjadikan seseorang itu kelihatan ‘hebat’ dan perkasa, seolah-olah si empunya badan tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan.

Zaman kini, kawasan hutan terutama di puncak bukit dan gunung seperti menjadi lokasi wajib bagi pencipta ‘content’ media sosial.

Semuanya berlumba-lumba mengejar keunikan dan keindahan alam, dengan harapa paparan yang disiar boleh menjadi tular.

Maka bertebaranlah gambar dan rakaman video memaparkan aksi-aksi manusia bersama alam semula jadi. Semuanya indah untuk disaksikan.

Atas sebab itu juga, aktiviti riadah seperti trekking, hiking dan berlari meredah denai menjadi aktiviti paling popular disertai orang ramai, khususnya pada pasca pandemik Covid-19 ketika ini.

Bagaimanapun, harus diingat, tidak semua keseronokan dan keindahan itu berakhir seperti yang diinginkan.

Sedar atau tidak, alam semula jadi bukan tempat biasa-biasa, seperti mana taman permainan ataupun pusat beli-belah yang mudah dikunjungi.

Hutan, denai mahupun puncak gunung adalah tempat bagi mereka yang telah bersedia, baik dari segi fizikal mahupun mental.

Lihat sahaja, berapa banyak nyawa yang telah terkorban ketika berada di hutan, mendaki bukit dan gunung.

Walaupun tiada statistik rasmi mengenai jumlah kematian yang direkodkan, angkanya tetap tinggi dan sangat membimbangkan.

Sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa, baik mereka yang bertenaga ketika mendaki Gunung Kinabalu, mahupun mereka yang suka-suka ketika mendaki Bukit Melati di Nilai, Negeri Sembilan.

Atas sebab itu, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) bercadang untuk menguatkuasakan beberapa syarat baharu kepada pendaki yang ingin memasuki Hutan Simpan Kekal (HSK) di Semenanjung.

Ini termasuklah wajib menggunakan khidmat Malim Gunung Perhutanan (MGP) bermula tahun depan.

Alasan yang diberikan, penggunaan malim gunung adalah bagi memastikan keselamatan pendaki terjamin dan mengurangkan kejadian kemalangan semasa aktiviti pendakian.

Bahasa mudahnya, jangan main-main dengan alam dan persiapkan diri sebelum melakukannya. Bagi yang baru berjinak-jinak, carilah rakan yang mahir.

Persiapkan diri dengan segala keperluan, sama ada kasut yang ingin dipakai atau puncak yang ingin didaki.

Bagi yang sudah sudah mahir atau berstatus otai, beringat dan berpada-padalah dengan kemampuan diri. Sesungguhnya malang itu tidak pernah berbau.

Seperti kata manusia pertama di puncak Everest, Sir Edmund Hillary, bukan gunung yang harus kita takluki, melainkan diri kita sendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI