SAUDARA PENGARANG,
Kejadian seorang wanita yang hilang ketika mendaki Gunung Batu Putih, Tapah, Perak benar-benar membuatkan banyak pihak membuka mata mengenai aktiviti luar itu.
Pelbagai teori dikaitkan sama ada berkaitan mistik atau memang dia tersesat atau tersasar daripada trek sedia ada.
Di sebalik semua itu, terdapat cadangan selain mempunyai pengalaman sebagai pendaki, mereka juga perlu membawa kompas dan membaca peta.
Sebelum memulakan perjalanan, pendaki perlu membuat kaji selidik kawasan pendakian, laluan mana yang perlu diambil dan waris untuk dihubungi sekiranya berlaku kecemasan.
Bukan apa, jika berlaku kehilangan, pasukan penyelamat akan menggerakkan pelbagai aset untuk pencarian dan ia melibatkan kos.
Dalam apa juga aktiviti yang dilakukan, kita berharap ia berlangsung dengan selamat daripada awal sehingga selesai.
Saya tertarik dengan pegangan Orang Asli mengenai ilmu hutan. Jika pergi berlima, balik pun mesti berlima. Jika ada orang sakit di pertengahan jalan, semua kena patah balik dan jangan ada yang meneruskan perjalanan.
Pendaki pencen,
Kuala Ketil, Kedah














