MADRID – Anggota-anggota bomba bergelut dengan kebakaran hutan di utara Madrid semalam, dengan sekitar 13,000 hektar kawasan musnah dan kira-kira 700 penduduk terpaksa berpindah.
Perdana Menteri Pedro Sanchez berkata, kerajaannya memantau rapi kebakaran hutan itu dan mengucapkan terima kasih kepada anggota-anggota bomba yang ‘bekerja tanpa jemu’ untuk melindungi nyawa dan mengawal kebakaran.
Kira-kira 300 anggota bomba, disokong oleh 26 pesawat pemadam api berusaha membendung kebakaran itu yang berlaku Khamis lalu ketika cuaca panas terik melanda wilayah Guadalajara.
Ia berlaku di kawasan pergunungan diliputi hutan merangkumi Taman Alam Semula Jadi Sierra Norte yang menjadi habitat kepada spesies terancam termasuk helang, serigala dan rama-rama.
Kebakaran hutan itu menyusul selepas satu lagi kebakaran berlaku Rabu lepas berhampiran Zaragoza, di wilayah Aragon, timur laut Sepanyol yang memaksa kira-kira 1,000 orang mengosongkan rumah mereka.
Pasukan bomba, dibantu keadaan cuaca yang bertambah baik, berjaya membendung kebakaran itu daripada terus merebak, kata pemimpin tempatan, María del Mar Vaquero kepada televisyen awam Sepanyol.
“Perkhidmatan kecemasan akan menentukan bila penduduk dari lima buah kampung yang dipindahkan boleh kembali ke rumah,” katanya.
Kebakaran itu memusnahkan sekitar 14,400 hektar kawasan kata Vaquero.
Awal bulan ini, Sepanyol mengalami salah satu kebakaran hutan paling buruk dalam sejarah apabila api marak di di wilayah Almeria membunuh 13 orang dan memusnahkan 7,000 hektar hutan. – AFP














