PETALING JAYA – Kesemua lapan anak kapal rakyat Malaysia dari MV Berkat Tuah yang terkandas di Pelabuhan Hamriyah, Sharjah, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) kini selamat pulang ke tanah air selepas empat lagi kru tiba hari ini.
Kementerian Luar Negeri menerusi Wisma Putra memaklumkan, empat kru terbabit tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 9 pagi hasil usaha berterusan Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai bersama Jabatan Laut Malaysia dan pihak berkuasa Sharjah.
Menurut Wisma Putra, empat anak kapal itu dibenarkan turun dari kapal pada 18 Julai lalu, manakala empat lagi kru dari kapal sama telah selamat pulang ke Malaysia pada 10 April.
“Pada masa yang sama, pihak Konsulat Jeneral turut berunding dengan pihak berkuasa Sharjah serta menyelaras usaha dengan Jabatan Laut Malaysia dan pemegang taruh yang berkaitan bagi membolehkan proses kepulangan anak-anak kapal itu berjalan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kementerian, sebelum kepulangan mereka, Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai turut mengadakan beberapa siri lawatan konsular bagi memastikan kebajikan dan keselamatan anak kapal sentiasa terpelihara.
Dalam pada itu, Wisma Putra merakamkan penghargaan kepada kerajaan UAE atas bantuan serta kerjasama yang diberikan dalam memudahkan kepulangan selamat kesemua anak kapal berkenaan.
Katanya, Perwakilan Diplomatik Malaysia di luar negara akan terus komited memastikan kebajikan dan keselamatan rakyat Malaysia di luar negara sentiasa diberi perhatian. -KOSMO! ONLINE














