fbpx

Sukan Komanwel: Emas Ng Joe Ee lengkapkan sasaran negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JOE EE berjaya merangkul dua pingat emas dalam disiplin bola dan riben sekali gus melengkapkan sasaran enam emas buat kontinjen negara di Sukan Komanwel. - TWITTER OLYMPIC MALAYSIA

GIMNAS negara, Ng Joe Ee meng­akui tidak percaya dapat merangkul dua pingat emas bagi memastikan kontinjen Malaysia mencapai sasaran enam pi­ngat emas pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Pada aksi final yang berlangsung di Arena Birmingham malam kelmarin, atlet berusia 17 tahun itu menampilkan aksi terbaik bagi memastikan kemena­ngan cukup bermakna menerusi disiplin bola dan riben.

Memandangkan Sukan Komanwel kali ini merupakan penampilan pertamanya pada temasya tersebut, Joe Ee menganggap pingat emas yang dimenangi cukup bermakna selain percaya kemenangan itu bakal menjadi pembakar semangat menjelang kejohanan seterusnya.

“Saya sangat gembira kerana langsung tidak jangka dapat membawa pulang dua pingat emas, lebih-lebih lagi ini adalah Sukan Komanwel pertama dalam karier. Selepas ini belum pasti bilakah kejohanan yang akan di­sertai.

“Kemenangan ini sesuatu yang sangat hebat dan pengalaman cukup baik untuk saya. Saya akan bekerja lebih keras selepas ini bagi mencatat keputusan lebih baik pada temasya Sukan Komanwel seterusnya,” katanya.

Sebagai rekod, Joe Ee menghadiahkan pingat emas kelima negara terlebih dahulu menerusi disiplin bola selepas mengumpul 29.700 mata keseluruhan mengetepikan cabaran atlet Kanada, Suzanna Shahbazian yang meraih perak, manakala wakil Cyprus, Anna Sokolova di tempat ketiga.

Beberapa jam kemudian, dia sekali lagi menjadi wira negara apabila menyumbang pingat emas keenam buat Malaysia selepas memenangi disiplin riben dengan mengutip 27.800 mata menewaskan atlet Scotland, Loui­se Christie dan Carmel Kallemaa dari Kanada.

“Saya mahu dedikasikan pi­ngat ini kepada jurulatih serta rakan sepasukan yang sentiasa memberi sokongan serta sema­ngat kepada saya. Terima kasih juga kepada semua yang berada di belakang saya,” ujar Joe Ee.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI