fbpx

Kebakaran hutan Amazon meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar edaran Greenpeace menunjukkan asap berkepul-kepul akibat kebakaran di hutan Amazon di Porto Velho, Brazil pada 27 Julai lalu. - AFP

BRASILIA – Kebakaran hutan Amazon di Brazil menyaksikan peningkatan lapan peratus pada Julai tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas, lapor laman berita Wion News semalam.

Berdasarkan pemantauan satelit yang dijalankan oleh agensi angkasa lepas Brazil, INPE, Amazon yang merupakan hutan hujan terbesar di dunia telah mengalami 5,373 kebakaran pada Julai 2022. Ia meningkat berbanding 4,977 kebakaran yang direkodkan pada bulan sama tahun lepas.

Meskipun kebakaran di hutan Amazon adalah fenomena biasa pada masa ini disebabkan cuaca kering, jumlah kebakaran yang semakin meningkat adalah membimbangkan.

Pakar-pakar mengaitkan kebakaran tersebut dengan tindakan petani dan perampas tanah yang sengaja membakar hutan untuk tujuan pertanian selepas menebang pokok.

“Ia adalah permulaan musim kemarau Amazon apabila bilangan kebakaran hutan meningkat. 

“Selain memusnahkan hutan dan biodiversitinya, kebakaran dan kemusnahan itu juga menjejaskan kesihatan penduduk tempatan akibat menyedut asap,” kata jurucakap organisasi kempen bebas Greenpeace Brazil, Romulo Batista. 

Secara keseluruhan, kebakaran hutan di Amazon turut meningkat tahun ini. INPE menyatakan bahawa terdapat 12,906 kebakaran hutan setakat ini dengan jumlah itu melonjak 13 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Purata penebangan hutan secara tahunan turut menaik 75 peratus berbanding dekad sebelumnya sejak Presiden Jair Bolsonaro memegang jawatan pada 2019. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI