TERLETAK di Negeri Sembilan, Gunung Angsi merupakan antara destinasi pendakian popular dalam kalangan peminat aktiviti lasak kerana laluan treknya yang mencabar, namun masih sesuai untuk pendaki pelbagai tahap.
Dengan ketinggian sekitar 825 meter dari paras laut, gunung itu sering menjadi pilihan bagi mereka yang ingin menguji stamina dan ketahanan mental, khususnya melalui variasi laluan yang berulang dan memerlukan disiplin pendakian yang tinggi.
Cabaran tiga ‘loop’ yang semakin mendapat perhatian atau trend ramai pula menambah dimensi baharu kepada pengalaman mendaki gunung ini.
Cubaan mendaki Gunung Angsi melalui cabaran tiga ‘loop’ atau pusingan baru-baru ini menjadi pengalaman mencabar bagi seorang pendaki, Rahman Khair apabila dia terpaksa menamatkan pendakian selepas dua ‘loop’ sahaja.
Kongsi Rahman, bagi cabaran itu, dia tidak mendaki seorang diri, sebaliknya ditemani beberapa orang rakan yang turut menyertai cabaran tersebut.
Seawal pendakian, dia masih bersemangat dan menunjukkan keyakinan untuk menamatkan cabaran.

Untuk ‘loop’ pertama, Rahman berjaya menawan puncak dalam tempoh kira-kira satu jam 10 minit, sebelum menamatkan keseluruhan ‘loop’ pertama dalam sekitar dua jam pendakian.
“Untuk ‘loop’ pertama, saya masih bersemangat.
“Namun, belum pun tamat ‘loop’ pertama, saya sudah terfikir perlu melalui sebanyak dua kali lagi,” kongsinya.
Rahman mula menyedari cabaran sebenar yang perlu dihadapi apabila mendapati dia perlu mengulangi dua kali lagi sebelum cabaran dianggap lengkap atau selesai.
Selesai ‘loop’ pertama, Rahman dan rakan-rakan berhenti di checkpoint pertama untuk mengisi perut dengan nasi dan tembikai.
Memasuki ‘loop’ kedua, Rahman berkata, mereka memilih untuk menggunakan ‘hiking pole’ bagi membantu pendakian.
Namun ketika itu, dia mula merasai perubahan tahap tenaga dan motivasi.
“Apabila ‘loop’ kedua bermula, saya mula mempersoalkan keputusan saya,” katanya.

Rahman mengakui bahawa cabaran mental mula mengatasi kekuatan fizikal apabila keletihan semakin ketara sepanjang laluan.
Akhirnya, selepas berjaya menamatkan ‘loop’ kedua, Rahman membuat keputusan untuk tidak meneruskan pendakian ke ‘loop’ ketiga kerana tidak lagi mampu untuk meneruskan cabaran tersebut.
Walaupun tidak berjaya menamatkan keseluruhan tiga ‘loop’, dia menyifatkan pengalaman tersebut sebagai satu pengajaran besar dalam memahami batas kemampuan diri.
“Bagi saya, penting untuk kita dengar apa kata badan kita dan tidak memaksa sesuatu,” katanya.
Pengalaman itu turut menjadi peringatan bahawa pendakian bukan sekadar ujian fizikal semata-mata, sebaliknya turut menuntut kekuatan mental, disiplin dan pengurusan tenaga yang baik sepanjang perjalanan.
Bagi Rahman, keputusan untuk berhenti selepas dua ‘loop’ bukan satu kegagalan, sebaliknya satu bentuk kesedaran terhadap had diri sendiri dalam aktiviti lasak yang mencabar.














