fbpx
PENGHINAAN terharap Islam tidak boleh diterima sama sekali walau di mana sekalipun ia berlaku. –GAMBAR HIASAN

Hina agama Islam perlu dihukum berat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh Prof. Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Agama Islam mengajar kita menghormati orang (bangsa) lain, termasuk agama dan hak mereka. Sebab itu, dalam perang sekalipun, umat Islam diajar soal akhlak.

Berperang dengan orang yang menyerang, jangan sama sekali membunuh orang tua, wanita, kanak-kanak meskipun bukan Islam, tidak boleh merosakkan alam sekitar dan merosakkan rumah ibadat mereka.

Begitulah ketegasan Islam dalam menjaga hak orang lain.

Dalam konteks negara kita, jarang sekali orang Islam menghina agama lain. Kalau ada pun, boleh dibilang dengan jari, berbanding penghinaan bukan Islam terhadap Islam.

Umat Islam diajar meskipun kita tidak bersetuju dengan ajaran dan amalan sesuatu agama, kita dilarang sama sekali menghina amalan dan sembahan mereka.

Firman Allah dalam Surah Al-An’am, ayat 108 yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain daripada Allah, kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada
Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.”

Tujuan larangan penghinaan agama lain adalah untuk mengelakkan saling balas membalas. Islam mahu mengelakkan sebarang pertelingkahan yang boleh menyebabkan orang kafir menghina kembali Allah, sedangkan mereka tidak tahu hakikat sebenar Islam.

Sama keadaannya, apabila orang Melayu bersedia menerima orang bukan Islam menetap di alam Melayu (Tanah Melayu), semuanya kerana Islam.
Islam menganjurkan penganutnya menghormati dan meraikan tetamu.

Jika ditakdirkan, Melayu masih belum Islam ketika penghijrahan berlaku, mana mungkin begitu ramai bukan Melayu ada di negara ini.
Semuanya kerana Melayu telah menerima syiar Islam.

Islam telah melembutkan hati-hati Melayu sehingga begitu lunak dengan orang lain meskipun begitu asing.

Bukan Melayu yang begitu asing diterima seadanya.

Malah diberikan kebebasan begitu tinggi, termasuk mengamalkan cara hidup dan budayanya tanpa langsung diasimilasikan seperti mana yang berlaku di Indonesia dan Thailand.

Itu pun mereka masih tidak sedar diri dan sentiasa membangkitkan isu-isu sensitif, terutama berkaitan Islam.

Sedangkan kita sebagai umat Islam boleh dikatakan tidak pernah campur tangan dalam urusan agama lain.

Jika tidak, masakan kita lihat banyak rumah ibadat mereka di negara ini.

BARU-BARU ini, kita dikejutkan dengan tindakan seorang wanita Islam menghina agama sendiri sewaktu mengadakan persembahan di sebuah kelab komedi di Kuala Lumpur.

Ini baru satu contoh.

Bandingkan dengan umat Islam di negara lain yang berada di tempat mereka sendiri, diperintah oleh bukan Islam, saban hari kedengaran dianiaya dan dizalimi.

Inilah nasib umat Islam di negara bukan Islam meskipun berada di tempat sendiri.

Sebaliknya, orang bukan Islam hidup senang-lenang di negara Islam yang bukan negara asal-usulnya.

Mereka dilayan begitu baik dan terbukti di negara bertuah ini , agama dan hak mereka terjaga.

Malahan, kadangkala mereka mendapat hak lebih daripada penduduk asal.

Pada 13 Julai lalu, kita dikejutkan sekali lagi, seorang wanita Melayu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menimbulkan rasa tidak harmoni dalam kalangan umat Islam ketika melakukan persembahan sebuah kelab komedi di Kuala Lumpur pada 4 Jun lalu.

Hakim membenarkan beliau diikat jamin RM20,000 oleh seorang penjamin dan turut memberi amaran kepadanya supaya tidak mengulas mengenai kes itu.

Pada hari sama, teman lelakinya, bukan Islam, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memuat naik kandungan menghina di media sosial.

Bagi pertuduhan pertama, didakwa berkongsi di akaun Instagramnya pada 5 Jun lalu dengan niat untuk menghina orang lain.

Manakala pertuduhan kedua, dia didakwa berkongsi kandungan melalui akaun YouTubenya pada 16 Jun dengan niat untuk menghina orang lain.

Dia turut diikat jamin RM20,000.

Menyelami hati budi Melayu dan budayanya, jarang sama sekali Melayu tampil berdepan menghina agama sendiri.

Orang Melayu tidak akan tergamak melakukannya. Tetapi itu berlaku.

Lebih memeranjatkan, wang ikat jamin mereka dibuat melalui dana awam oleh kumpulan hak asasi manusia.

Dalam sekelip mata mereka berjaya mengumpul RM40,000 untuk membayar ikat jamin penghina agama ini.

Malah kutipan melebihi sasaran, bantuan dalam dan luar negara datang mencurah-curah.

Orang yang terang-terang melakukan kesalahan menghina agama, mendapat pembelaan.

Manakala, orang baik yang menentang penghinaan ini pula dikatakan salah.

Ini bukan kali pertama, sudah banyak kali berlaku, terutama penghinaan terhadap Rasulullah saw.

Ini memperlihatkan ada agenda diluar sana yang mahu menghapuskan agama suci ini yang termaktub dalam perlembagaan sebagai agama persekutuan.

Sudah tentu kita sebagai rakyat Malaysia yang cintakan Islam dan Rasul tidak boleh berdiam diri dan membiarkan mereka mempersenda dan menghina agama Islam.

Pertama, pihak berkuasa mesti segera menyiasat perkara ini hingga ke akar umbi dan jangan biarkan musuh-musuh Islam bermaharajalela, melakukan penghinaan sesuka hati terhadap agama suci ini.

Kedua, hukuman berat hendaklah dijatuhkan terhadap penghina agama ini, tanpa tolak ansur.
Ketiga, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mesti dihidupkan semula.

Boleh dikatakan, negara-negara maju seperti Amerika Syarikat masih mengekalkan akta ini, kenapa kita perlu menghapuskannya?

Keempat, jangan politikkan perkara berkaitan agama dengan belian secebis undi, siapa yang bersalah mesti dihukum dan jangan ada campur tangan politik.

Kelima dan bukan yang terakhir, laporkan semua ini kepada pihak berkuasa.

Jangan bertindak sendirian kerana musuh akan bertepuk tangan.

Tindakan sendiri hanya akan memburukkan imej Islam. Ini sekali gus menakutkan orang bukan Islam dengan ajaran Islam.

Nasihat kepada bukan Islam, cuba fahami bahawa setiap negara ada sejarah dan perlembagaannya, maka hormatilah.

Jika tidak mahu, carilah tempat lain yang sesuai untuk kamu.

Dalam Islam, kami diajar untuk menghormati orang lain, agama dan hak mereka.

Kami juga diajar jika ada sebarang isu dan konflik berkaitan agama, kami lebih memilih dan cenderung ke arah kaedah perdamaian dan toleransi. Namun, semua itu ada had dan batasnya.
—————————————————————————————————————————————————————————
Prof. Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah ialah pendakwah bebas dan pensyarah di Pusat Pengajian Teras, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN