NEGERI Sembilan sememangnya terkenal dengan menu masak lemak cili api, namun air tangan dan gaya masakan memberikan rasa yang berlainan.
Bagi penggemar gulai masak lemak cili api ikan baung, anda boleh cuba memasukkan Warung Dayang Salai D’Linggi dalam senarai lokasi persinggahan makan untuk merasai keenakan masakan di sini.
Terletak di pekan Linggi di Port Dickson, warung yang sinonim dengan nama Dayang Salai Linggi itu tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat setempat dan kini menjadi bualan orang luar yang sanggup datang dari jauh untuk menikmati gulai baung salai.
Menariknya gulai baung salai itu dimasak sendiri oleh pemiliknya, Rozianah Ahmad, 53, yang mempunyai pengalaman 20 tahun dalam bidang masakan menggunakan resipi turun- temurun daripada ibunya dengan dibantu suami, Kamarulzaman Othman, 53.
“Kita masih mengekalkan gaya masakan cara tradisi orang Linggi. Resipi gulai baung ini sangat mudah disediakan iaitu kunyit hidup, cili api, santan segar, air limau dan istimewanya ada tambah daun kesum yang menaikkan lagi aroma.
“Proses daripada menyiang, mengosek (membuang lendir), membasuh, menyalai dan menggulai semua dilakukan sendiri bagi mengekalkan rasa serta kualiti,” katanya ketika ditemui di Warung Dayang Salai D’Linggi baru-baru ini.

ROZIANAH dan Kamarulzaman menunjukkan hidangan gulai masak lemak cili api ikan baung dan ikan baung masak sambal yang menjadi pilihan pelanggan di Warung Dayang Salai D’Linggi.
Rozianah yang mesra dengan panggilan Dayang berkata, ikan baung tersebut diperoleh daripada peraih setiap hari bagi memastikan kesegarannya dan dimasak pula atas permintaan.
“Apabila pelanggan pesan, kita akan hidangkan kerana tekstur ikan baung ini lembut dan boleh dimakan ketika masih panas.
“Dalam sehari, lebih kurang 50 hingga 80 kilogram ikan baung dipesan pelanggan yang datang ke sini semata-mata untuk menikmati hidangan ini. Pelanggan yang menilai biasanya akan datang semula selepas sekali mencuba,” katanya.
Menurut Rozianah, selain masak gulai lemak cili api, pelanggan juga boleh mencuba masakan ikan baung goreng sambal dan ikan baung asam pedas yang mempunyai peminat tersendiri.
Selain itu, Rozianah berkata, bagi yang tidak makan ikan baung, ada menu lain yang disediakan seperti daging masak cili api dengan pucuk pegaga, gulai perut, kari kambing, gulai sembilang salai dan ayam kampung salai.

“Sebagai peniaga, saya mementingkan kualiti di mana setiap kuah bagi setiap masakan mempunyai rasa yang berbeza.
“Biasanya saya masak sikit-sikit tapi berulang kali supaya pelanggan dapat menikmati makanan yang baru siap dimasak.
“Alhamdulillah maklum balas daripada pelanggan amat baik, kebanyakannya kata bila hirup kuah sama macam uwan dia masak,” katanya.
Jelas Rozianah, kepuasan pelanggan menjadi keutamaan dan dia akan sentiasa cuba melakukan yang terbaik supaya pelanggan datang semula.
“Selain orang tempatan, melalui mulut ke mulut, ada pelanggan dari Sabah, Sarawak, Johor dan Kedah sanggup datang ke sini semata-mata untuk merasai sendiri gulai ikan baung,” katanya.
Pada masa depan, Rozianah berharap masakan gulai ikan baung tradisi Linggi ini dikenali di seluruh Malaysia dan dunia sebagai salah satu tarikan pelancong ke Negeri Sembilan.

KEENAKAN masakannya membuatkan ramai yang kembali berkunjung.














