fbpx

Kemelut Robert Lewandowski ke Barcelona berakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LEWANDOWSKI dibenarkan terbang ke Barcelona untuk ujian kecergasan sebelum diperkenalkan secara rasmi di Stadium Camp Nou selewat-lewatnya esok. – AFP

MUNICH – Kelab gergasi Bundesliga, Bayern Munich akhirnya menerima tawaran Barcelona yang bersetuju untuk ‘pecah tabung’ mengeluarkan dana perpindahan sebanyak £42.5 juta (RM224.2 juta) bagi menandatangani penyerang sensasi, Robert Lewandowski.

Persetujuan tersebut akhirnya menamatkan ‘kemelut’ No. 1 jendela perpindahan musim panas ini selepas perbincangan yang dilakukan oleh kedua-dua pihak pengurusan dilihat menemui jalan buntu.

Difahamkan, Lewandowski telah dibenarkan untuk terbang ke Barcelona semalam bagi menjalani ujian pemeriksaan kesihatan dan kecergasan sebelum diperkenalkan secara rasmi oleh skuad The Catalan di Stadium Camp Nou selewat-lewatnya esok.

Jika segalanya berjalan lancar, penyerang antarabangsa Poland itu akan terus menyertai skuad kendalian Xavi Hernandez yang kini sedang melakukan siri jelajah pramusim di Amerika Syarikat (AS).

Lewandowski yang kini berusia 34 tahun sudah pun bersetuju dengan terma dan syarat kontrak yang ditawarkan Barcelona dengan perjanjian sehingga penghujung musim 2025.

Kehadiran Lewandowski bakal mengukuhkan jentera serangan Barcelona dan dijangka bakal membentuk gandingan ampuh dengan bekas rakan sepasukannya di Borussia Dortmund, Pierre-Emerick Aubameyang yang kini turut mewakili kelab The Catalan itu.

Lewandowski masih lagi dianggap sebagai penyerang No. 9 terbaik di dunia selepas merekodkan 50 jaringan dalam 46 perlawanan keseluruhan bersama kelab Bayern musim lepas.

Barcelona menjadi salah satu pasukan yang bergiat aktif pada jendela perpindahan kali ini selepas turut mengesahkan kehadiran Andreas Christensen, Franck Kessie dan Raphinha baru-baru ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI