fbpx

37 ditahan kes tuntutan palsu Penjana Kerjaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian daripada 37 individu yang ditahan SPRM berhubung tuntutan palsu Program Penjana Kerjaya dibawa ke mahkamah bagi proses permohonan reman hari ini.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 37 individu kerana terlibat dalam penyelewengan tuntutan palsu Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) susulan operasi besar-besaran bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) semalam.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata, tangkapan menerusi Ops Hire itu melibatkan  26 lelaki dan 11 wanita terdiri daripada individu berjawatan pengarah, pengurus, pemilik syarikat pegawai eksekutif dan jurutera berumur 28 hingga 70 tahun.

Selain itu katanya, sebanyak 24  kertas siasatan berkaitan jenayah tersebut turut dibuka melibatkan tuntutan-tuntutan bayaran penjana yang dibuat oleh syarikat-syarikat di seluruh negara kepada pihak Perkeso.

“Siasatan yang dijalankan berhubung kes ini melibatkan 13 negeri seluruh negara kecuali Sabah, Sarawak, Labuan dan Terengganu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hishamuddin berkata, jumlah keseluruhan peruntukan yang dituntut adalah sebanyak RM100 juta manakala sebanyak 36 akaun bank milik syarikat-syarikat yang terlibat berjumlah RM7,344,177.13 juga telah dibekukan.

“Kesemua individu yang telah ditahan akan direman mengikut negeri masing,” ujar beliau.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan bahawa siasatan berhubung kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

“Saya menegaskan bahawa kes ini melibatkan kepentingan awam dan wang rakyat yang perlu dipelihara daripada ketirisan. Tiada tolak ansur bagi mana2 pihak yang menyeleweng atau menipu peruntukan ini,” ujar beliau.

Terdahulu, SPRM semalam memaklumkan tentang pelaksanaan operasi besar-besaran bersama Perkeso bagi menyiasat isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif Program Penjana Kerjaya (Penjana Kerjaya) di beberapa negeri seluruh negara.

Operasi berkenaan adalah susulan maklumat diperolehi susulan pemantauan dan risikan oleh SPRM dengan kerjasama Perkeso yang mendapati ada majikan-majikan yang mengemukakan tuntutan palsu serta menyeleweng dana program tersebut.

Program Penjana Kerjaya merupakan antara inisiatif kerajaan bagi membantu majikan dan pekerja semasa mendepani cabaran Covid-19 bermula awal tahun 2020 yang dilaksanakan oleh Perkeso melalui pewujudan pekerjaan baharu, mengekalkan pekerjaan dan meningkatkan kemahiran pekerja. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI