fbpx

Kelantan rekod 22 episod keracunan makanan dalam tempoh 2 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Izani (tengah) melakukan gimik perasmian Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Kelantan di Mydin Mall Tunjong, Kota Bharu hari ini. /FOTO ROSLIZA MOHAMED

KOTA BHARU – Sebanyak 22 episod kejadian keracunan makanan dengan melibatkan 1,079 kes dilaporkan di Kelantan sejak dua tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin berkata, kebanyakan kejadian keracunan makanan dilaporkan berlaku di kantin sekolah, dapur asrama, komuniti dan institusi pengajian tinggi.

Menurutnya, pihak pengusaha dan pengendali makanan perlu sentiasa menerapkan penjagaan kebersihan bagi mengelak berlaku keracunan makanan.

“Pengusaha makanan yang beroperasi di rumah juga perlu melakukan perkara sama sebelum menjualnya di gerai-gerai tepi jalan atau di premis jualan.

“Sehubungan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan perlu kerap melakukan pemantauan di premis dan gerai di tepi jalan bagi mengelakkan kejadian keracunan makanan berulang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Kelantan 2022 di Mydin Mall, Tunjong di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Izani berkata, sebanyak 17 buah premis makanan daripada 4,097 yang diperiksa diarah tutup selama dua minggu sejak Januari lalu selepas didapati tidak menjaga kebersihan.

Menurutnya, jumlah itu menunjukkan peningkatan apabila hanya enam buah premis diarah tutup sepanjang tahun lalu.

“Kerajaan negeri memandang serius mengenai kes keracunan makanan. Pelbagai agensi yang berkepentingan juga perlu bekerjasama melaksanakan kawalan keselamatan makanan.

“Ini termasuk bermula daripada peringkat di ladang hingga ke meja makan bagi memastikan pengguna menerima makanan yang selamat dan berkualiti. Kawalan keselamatan makanan juga mencabar disebabkan penghasilan makanan yang sangat kompleks ketika ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI