fbpx

Tubuh pasukan khas pantau pencemaran sungai di Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Onn Hafiz mengutip sampah di Sungai Tebrau sempena Program Pembersihan Sungai Tebrau, Johor Bersih@Tebrau di Bakar Batu, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri akan mewujudkan sebuah Taskforce Penguatkuasaan dan Pemantauan Pencemaran Sungai-Sungai dalam usaha memulihkan sungai-sungai yang tercemar di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K. Raven Kumar berkata, jawatankuasa berkenaan merupakan komitmen kerajaan negeri dalam usaha menjadikan Johor sebuah negeri maju yang mengutamakan aspek kebersihan.

Menurut beliau, antara sungai yang paling terjejas akibat pencemaran termasuklah Sungai Tebrau dan Sungai Skudai.

“Masalah sampah di dalam sungai di negeri ini bukan baharu. Kutipan sampah bagi Sungai Tebrau dan di Sungai Skudai yang dibuat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melebihi 500 tan setahun dengan berkenaan kos penyelenggaraan tahunan berjumlah RM650,000.

“Ini tidak termasuk sampah sarap yang dikeluarkan daripada sungai oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) iaitu sebanyak hampir 900 tan setahun di Sungai Tebrau,” katanya ketika berucap pada Majlis Program Pembersihan Sungai Tebrau di Kampung Bakar Batu, di sini hari ini.

Majlis berkenaan dilancarkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi bersempena dengan pelancaran program Johor Bersih 100 Hari, hari ini.

Tambah Raven Kumar, taskforce berkenaan akan dilaksana secara berfasa mengikut isu semasa dengan fasa pertama difokuskan bagi daerah Johor Bahru dan Kulai yang kerap berdepan isu pencemaran sungai.

“Pelbagai strategi telah dirangka bagi memastikan kebersihan sungai. Ini termasuklah pemasangan lebih banyak struktur perangkap sampah, melaksanakan program ‘public outreach’ dan mengadakan aktiviti kebersihan secara gotong-royong.

Sementara itu, Onn Hafiz memberitahu, kerajaan negeri akan menggunakan dua buah bot ‘Scavenger’ mengaut sampah kendalian JPS di semua sungai seluruh Johor.

Menurut beliau, bot yang boleh memerangkap sehingga tiga tan sampah sarap dalam sekali perjalanan itu akan dimulakan di Sungai Tebrau dan Sungai Skudai yang merupakan antara sungai tercemar di negeri ini.

Katanya, terlalu banyak sampah sarap domestik yang dibuang ke dalam sungai khususnya di Sungai Tebrau dan Sungai Skudai.

“Dianggarkan sebanyak 85 tan sampah sarap dikutip di Sungai Tebrau sebulan oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) manakala di Sungai Skudai pula dianggarkan terdapat 70 tan sampah sarap dikutip dalam tempoh sama.

“Bot ini akan beroperasi setiap hari dan sekiranya ia efektif kita akan tambah lagi bot berkenaan untuk memastikan sungai-sungai di Johor bebas sampah sepenuhnya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Onn Hafiz turut menggesa masyarakat agar mengubah sikap dan mengamalkan penjagaan kebersihan dengan tidak membuang sampah sarap harian di kawasan sungai-sungai seluruh Johor. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI